Oleh Dr. Mohd Afifuddin Mohamad
“Mak, saya tahu saya banyak buat salah. Tapi saya tak tahu macam mana nak jadi baik semula.” Ayat ini mungkin kedengaran ringkas, tetapi bagi seorang ibu atau ayah, ia boleh menjadi detik yang sangat menginsafkan. Di hadapan mereka mungkin berdiri seorang remaja yang pernah melakukan kesilapan, ponteng sekolah, terjebak dengan pergaulan tidak sihat, buli, ketagihan permainan atau media sosial, penyalahgunaan bahan atau pelbagai tingkah laku yang mengecewakan keluarga. Lalu kita mula melabelnya sebagai “anak bermasalah”, “anak degil” atau lebih menyakitkan, “anak yang sudah rosak”. Namun, pernahkah kita berhenti seketika dan bertanya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam jiwa anak itu? Kesalahan tetap kesalahan dan perlu diperbetulkan, tetapi kesalahan yang dilakukan seorang remaja tidak seharusnya menjadi identiti dirinya sepanjang hayat.
Zaman remaja merupakan fasa penting dalam pembentukan identiti. Mereka sedang belajar mengenal diri, mencari penerimaan, memilih rakan, mengurus emosi dan membuat keputusan. Dalam proses itu, mereka boleh tersilap. Ada yang bertindak mengikut emosi, tekanan rakan sebaya atau keinginan untuk diterima tanpa benar-benar memahami kesan jangka panjang. Sebab itu, apabila anak melakukan kesalahan, kita perlu membezakan antara menegur perbuatan dengan menghancurkan harga diri pelakunya. “Perbuatan kamu salah” ialah teguran, tetapi “kamu memang anak tak guna” ialah label yang boleh meninggalkan luka psikologi.
Dalam psikologi, cara seseorang melihat dirinya mempunyai kaitan dengan motivasi untuk berubah. Apabila seorang remaja terlalu lama percaya bahawa dirinya gagal, tidak disayangi atau tidak berguna, dia mungkin semakin sukar melihat masa depan secara positif. Sebaliknya, apabila masih ada harapan, sokongan dan seseorang yang percaya bahawa perubahan itu mungkin berlaku, proses pemulihan menjadi lebih bermakna. Inilah antara asas kepada resilience, iaitu keupayaan untuk bangkit semula selepas melalui kesukaran.
Allah sendiri melarang kita berputus asa
Dalam isu remaja yang tersasar, Islam memberikan satu prinsip yang sangat jelas: jangan matikan harapan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zumar ayat 53: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Ayat ini sangat menarik kerana Allah tidak memanggil mereka yang melakukan dosa dengan panggilan yang menghina, sebaliknya memanggil mereka “hamba-hamba-Ku”. Mereka telah melampaui batas, tetapi identiti mereka sebagai hamba Allah tidak dipadamkan. Inilah mesej yang sangat penting kepada remaja yang merasakan dirinya sudah terlalu jauh untuk berubah.
Menurut tafsiran Ibn Kathir, ayat ini merupakan seruan kepada orang yang melakukan dosa supaya kembali dan bertaubat kepada Allah. Ibn Kathir menjelaskan bahawa sebesar mana sekalipun dosa seseorang, pintu keampunan tetap terbuka bagi mereka yang benar-benar bertaubat dan kembali kepada Allah. Namun, ayat ini tidak bermaksud dosa boleh dilakukan tanpa kesungguhan untuk berubah; keampunan tersebut berkait dengan taubat dan kembali kepada Allah. Maknanya, Islam tidak menafikan kesalahan, tetapi Islam menolak keputusasaan. Kita boleh berkata kepada seorang remaja, “Apa yang kamu lakukan itu salah,” tanpa perlu berkata, “Kamu sudah tidak ada masa depan.”
Al-Quran memberikan satu lagi mesej yang lebih mengagumkan dalam Surah al-Furqan ayat 70: “Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan.” Perhatikan perkataan “menggantikan”. Ia memberi gambaran bahawa masa lalu yang buruk tidak semestinya menentukan masa depan seseorang. Menurut tafsiran al-Tabari, perubahan itu berlaku apabila seseorang meninggalkan perbuatan yang salah, kembali kepada ketaatan dan melakukan amal soleh. Ini sangat dekat dengan prinsip psikologi pemulihan: seseorang bukan hanya perlu berhenti melakukan tingkah laku yang merosakkan, tetapi perlu membina tingkah laku, persekitaran dan identiti baharu yang lebih sihat.
Sebab itu, jangan hanya berkata kepada remaja, “Jangan buat benda itu lagi.” Bantu dia membina kehidupan yang lebih baik selepas meninggalkannya. Jika dia salah memilih kawan, bantu dia mencari lingkungan yang sihat. Jika dia ketagih permainan atau media sosial, bantu dia membina rutin kehidupan yang lebih seimbang. Jika dia terjebak dengan penyalahgunaan bahan, dapatkan intervensi profesional. Jika dia mengalami tekanan emosi, bawa mendapatkan bantuan kaunselor, psikologis klinikal atau profesional kesihatan mental. Jika dia jauh daripada Allah, bimbing dia kembali secara beransur-ansur, bukan dengan penghinaan.
Dalam tradisi pemikiran Islam, Imam al-Ghazali memberikan penekanan kepada keseimbangan antara khauf dan raja’ – rasa takut dan harapan. Manusia perlu takut terhadap akibat dosa supaya tidak mengambil ringan kesalahan, tetapi manusia juga memerlukan harapan supaya tidak tenggelam dalam keputusasaan. Prinsip ini sangat penting dalam mendidik remaja. Jika kita hanya menakutkan mereka dengan hukuman, mereka mungkin takut kepada dosa tetapi belum tentu belajar mencintai kebaikan. Jika kita hanya memberikan harapan tanpa tanggungjawab, mereka pula mungkin menganggap kesalahan tidak serius. Pendidikan yang seimbang ialah mengajar mereka bahawa “kamu telah melakukan kesalahan, tetapi kamu masih mempunyai peluang untuk memperbaiki diri.”
Ibu bapa perlu menjadi tempat untuk pulang
Apabila anak tersilap, ibu bapa sememangnya berhak berasa marah, kecewa dan sedih. Namun, jangan sampai rumah menjadi tempat yang paling ditakuti oleh anak. Anak mungkin melakukan kesalahan di luar rumah, tetapi apabila dia mahu berubah, rumah sepatutnya menjadi tempat pertama untuk dia kembali. Kadangkala seorang ibu tidak perlu memberikan ceramah panjang. Cukup dengan berkata, “Mak marah dengan perbuatan kamu, tetapi mak tidak pernah berhenti sayang kamu.” Seorang ayah pula boleh berkata, “Ayah tidak boleh benarkan kesalahan ini berulang, tetapi ayah akan bantu kamu memperbaiki hidup.”
Inilah disiplin yang disertai kasih sayang. Memaafkan tidak bermaksud membiarkan. Memberikan peluang kedua tidak bermaksud menutup mata terhadap kesalahan. Sebaliknya, ia bermaksud menetapkan batas yang jelas sambil membuka ruang untuk perubahan. Rasulullah SAW sendiri mendidik manusia dengan pendekatan yang membina harapan dan membuka ruang untuk kembali, bukan sekadar menghukum orang yang tersilap.
Satu kesilapan tidak menentukan seluruh kehidupan
Kita perlu melihat kehidupan seorang remaja seperti sebuah buku. Satu kesalahan hanyalah satu bab, bukan keseluruhan cerita. Dia mungkin pernah jatuh, tetapi masih ada halaman selepas itu. Dia mungkin pernah gagal, tetapi masih ada peluang untuk berjaya. Dia mungkin pernah tersasar, tetapi masih ada jalan untuk kembali. Jangan kerana satu bab yang gelap, kita menutup seluruh buku kehidupannya.
Kepada ibu bapa, guru dan masyarakat, mungkin kita tidak mampu mengubah masa lalu seorang anak, tetapi kita boleh membantu menentukan apa yang berlaku selepas itu. Kepada remaja yang pernah tersilap, jangan berputus asa. Akui kesalahan, minta maaf, tinggalkan perkara yang merosakkan diri, cari orang yang boleh membimbing dan dapatkan bantuan apabila diperlukan. Paling penting, kembalilah kepada Allah. Tidak perlu menunggu diri menjadi sempurna untuk kembali kepada-Nya. Kembalilah dahulu, kemudian berubah sedikit demi sedikit.
Kerana mungkin perkara yang kita anggap sebagai penghujung hidup sebenarnya merupakan permulaan kepada kehidupan yang lebih baik. Jatuh bukan bererti kalah. Kadangkala seseorang perlu jatuh supaya dia belajar bagaimana untuk bangun. Sebagai ibu bapa, pendidik dan masyarakat, tugas kita bukan sekadar melihat mereka jatuh, tetapi menghulurkan tangan ketika mereka mahu bangun semula. Setiap remaja yang tersasar masih mempunyai harapan. Selagi hayat masih ada dan pintu taubat Allah masih terbuka, jangan kita menjadi manusia yang menutup pintu tersebut.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM).
