IPOH, 5 Sept – Sebanyak 42 karya lukisan dan arca hasil 31 guru Pendidikan Seni Visual sekolah rendah dan menengah di Perak dipamerkan menerusi Pameran Guru Pendidikan Seni dan Visual Negeri Perak 2026, BANGUN!!!.
Pameran sulung berkenaan berlangsung di The Silver Lab, Jalan Datoh di sini selama kira-kira dua minggu bermula 1 Sept.
Pengarah pameran Amrie Zakaria berkata penganjuran BANGUN!!! bertujuan menggalakkan budaya berkarya dalam kalangan guru, selain memperkukuh jaringan antara pendidik, pengkarya, institusi seni dan masyarakat.
Menurutnya, setiap karya yang dipamerkan mempunyai cerita serta pengalaman tersendiri yang diterjemahkan menerusi perspektif guru sebagai pengkarya.
“Sebelum ini, karya yang dihasilkan guru seni hanya dipamerkan pada skala lebih kecil. Kali ini kita adakan pameran yang boleh dilihat orang ramai, terutama golongan muda,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pameran itu dirasmikan Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Perak Dr Mohamad Yusri Bakir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.
Sementara itu, Mohamad Yusri berkata pameran berkenaan menjadi antara usaha memperkasakan seni visual dalam kalangan pencinta seni dan pelajar.
Katanya, penganjuran pameran seperti itu turut berperanan mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda, dengan dunia seni dan kreativiti.
“Pameran sebegini secara tidak langsung dapat menarik orang ramai terutama golongan muda untuk memahami apa itu seni seterusnya memasyarakatkan seni.
“Yayasan Perak sentiasa melihat seni dan kreativiti sebagai antara elemen penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berbudaya serta berdaya saing,” katanya.
