SERDANG, 25 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghayatan Maulidur Rasul tidak seharusnya terhenti pada sambutan atau perarakan sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penghayatan kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia.
Beliau berkata sambutan Maulidur Rasul perlu menjadi wadah untuk menyuntik semangat, kesedaran dan pencerahan dalam kalangan umat Islam.
“Dalam konteks kefahaman Islam, cabarannya adalah penghayatannya, bagaimana kita memandangnya sebagaimana bulan kemerdekaan, bukan sambutannya, bukan pestanya, bukan perarakannya, tetapi yang diutamakan ialah apa yang digesa dalam firman Allah SWT.
“Bagi saya, sambutan begini adalah untuk menyuntik semangat baharu, bukan untuk mengekalkan kealpaan lama, dan obor Islam itu sentiasa obor yang dinamik, yang hidup. Setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan,” katanya semasa berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
— LAGI
THR NHIZ RMBA ERE
