KUCHING, 25 Ogos (Bernama) — Selepas kejayaan melancarkan lagu “Gung Guang” sempena perayaan Hari Gawai lepas, pemuzik tempatan Rining Peter Paris kini kembali mempertaruhkan single terbaharunya bertajuk “Sigar Suba” bersama kumpulan muziknya, Bata’ Uduh, bagi memperkasakan warisan budaya suku kaum Lun Bawang di Sarawak.
Single bergenre world music fusion yang dilancarkan secara rasmi pada 1 Julai itu menampilkan alunan Tapi’, alat muzik tradisional petik bertali dua yang menjadi simbol warisan utama masyarakat Lun Bawang, selain turut diwarnai gabungan instrumen tradisi lain antaranya Pek Bu, Ruding dan xilofon.
Rining, 53, berkata berbeza dengan karya ciptaannya sebelum ini yang banyak mengangkat kisah keindahan wanita dan flora seperti lagu “Busak Baku” dan “Busak Elai”, “Sigar Suba” ditujukan khas sebagai penghormatan kepada kaum lelaki masyarakat itu.
“Sebelum ini saya menyedari kebanyakan lagu digubah lebih memfokuskan kepada elemen kewanitaan seperti keindahan rantai manik. Jadi saya terfikir, belum ada lagu khas yang melambangkan identiti lelaki Lun Bawang.
“Lagu ini dihasilkan bersama band saya, Bata’ Uduh. “Sigar” merujuk kepada penutup kepala tradisional dan “suba” bermaksud merah. Ia merupakan perhiasan kepala khas berwarna merah yang wajib dipakai lelaki Lun Bawang semasa majlis keraian seperti perayaan Irau Aco,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
— LAGI
RINING-LAGU 2 (AKHIR) KUCHING
Rining berkata lirik lagu berkenaan yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Lun Bawang turut menceritakan helaian busana tradisional lelaki secara terperinci, termasuk kuyu talun iaitu baju kulit kayu, pelepet (parang tradisional) serta hiasan taring yang sering diperagakan mereka.
“Mesej utama lagu ini adalah peringatan agar generasi muda khususnya kaum lelaki Lun Bawang tidak lupa akan identiti dan jati diri mereka,” jelasnya.
Mendedikasikan usahanya selama hampir 10 tahun dalam memelihara dan memartabatkan alat muzik Tapi’, Rining yang juga pembuat instrumen berkenaan menyuntik nuansa moden seperti reggae dan fusion menerusi kumpulan Bata’ Uduh bagi memastikan alunan tradisi itu kekal relevan dalam kalangan pendengar generasi muda.
Sehingga kini, beliau telah menghasilkan dan menjual 66 unit Tapi’ buatan tangan di dalam serta luar negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, dan Kanada, selain turut diminati oleh pemuzik eksperimental tempatan terkenal, Belle Sisoski.
“Harapan saya agar suatu hari nanti lagu “Sigar Suba” disiulkan oleh anak-anak muda Lun Bawang, dan sasaran saya adalah untuk bergiat secara sepenuh masa dalam pengukiran serta pengubahan muzik Tapi’ menjelang tahun 2028,” katanya.
“Sigar Suba” kini boleh didengari di platform penstriman muzik utama.
— BERNAMA
TAG: Tapi’, alat muzik, tradisional, Sigar Suba, Rining Peter Paris
