GAZA, 17 Ogos (Bernama-Xinhua) — Hamas pada Ahad menggesa pihak pengantara dan penjamin supaya menekan Israel untuk meluluskan pelan hala tuju bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Xinhua.
Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan selepas pertemuan di Kaherah antara delegasi Hamas yang diketuai ketua biro politik gerakan itu, Khalil al-Hayya dengan wakil pengantara dan penjamin perjanjian gencatan senjata.
Menurut kenyataan itu, delegasi berkenaan menggesa pihak pengantara dan “Lembaga Keamanan” yang diketuai Amerika Syarikat (AS) supaya menekan Israel untuk melaksanakan semua komitmennya di bawah fasa pertama perjanjian, menghentikan pembunuhan dan pencerobohan darat serta meluluskan pelan hala tuju bagi fasa kedua.
Hamas turut berkata pihaknya menerima pelan hala tuju itu yang bertujuan mencapai gencatan senjata berkekalan, pengunduran penuh Israel dari Gaza, bantuan kemanusiaan berterusan serta memulakan tugas Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Israel menolak pelan hala tuju yang disokong AS dan tidak akan mengundurkan tenteranya dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.
“Lembaga Keamanan” pada 31 Julai menerbitkan pelan hala tuju 15 perkara bagi melaksanakan fasa seterusnya perjanjian Gaza.
Pelan itu antara lain merangkumi penamatan operasi ketenteraan, pemindahan pentadbiran awam kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza, pelucutan senjata, simpanan senjata, kemudahan pengeluaran ketenteraan dan terowong, selain pengunduran Israel.
— BERNAMA-XINHUA
TAG: Semenanjung Gaza, Hamas, pengantaraan, tekanan, Israel, pelan hala tuju
