SERDANG, 16 Ogos (Bernama) — Gelaran raja dan ratu pecut menjadi milik Johor dan Terengganu apabila Danish Iftikhar Muhammad Roslee mempertahankan pingat emas manakala Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menebus kekecewaan edisi lalu selepas masing-masing menungguli acara 100 meter (m) hari ini.
Danish Iftikhar mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada edisi Sarawak 2024 selepas melintasi garisan penamat dengan catatan 10.27 saat (s) iaitu catatan terbaik musim ini di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Danish Iftikhar selaku pelari kebangsaan menepati ramalan dalam acara riben biru olahraga dengan pingat perak menjadi milik atlet Kedah Muhammad Umaira Subri yang mencatat 10.3s, manakala rakan sepasukannya Muhammad Dzul Danish Jamari meraih gangsa dengan 10.37s.

Dalam final 100m wanita, Izzatul Musfirah akhirnya menaiki podium tertinggi selepas mencatat 11.73s, sekali gus menebus kekecewaan sekadar meraih perak pada edisi Sarawak 2024.
Atlet Selangor Lim Mei Yin meraih perak dengan catatan 11.96s, manakala Alvivia Aime Anak Jackly dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas merekodkan 12.07s.
Sementara itu, rekod SUKMA bagi acara 100m lelaki dan wanita masing-masing kekal milik atlet Melaka Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s pada edisi 2016 di Sarawak dan atlet Selangor Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal yang merekodkan 11.64s pada edisi Sarawak 2024.
— BERNAMA
TAG: SUKMA, Selangor, olahraga, 100m
PANS PANS DC
