KUALA LUMPUR, 25 Jun 2026 – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan meraikan Ulang Tahun ke-20 penubuhannya, menandakan dua dekad peranan strategik memacu transformasi industri perkhidmatan air negara serta memperkukuh keterjaminan bekalan air untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.


Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 PAAB dihadiri dan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga & Transformasi Air YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, yang turut dihadiri oleh Pengerusi PAAB, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Zulkiflee Omar, di Dewan Bankuet Menara Felda Platinum Park, Kuala Lumpur.
PAAB ditubuhkan pada 5 Mei 2006 dengan visi utamanya, Kelestarian Industri Perkhidmatan Air. Bagi merealisasikan visi tersebut, PAAB bertanggungjawab untuk melaksanakan dua misi utama, iaitu membantu menyelesaikan beban pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri melalui pengambilalihan aset-aset air sedia ada dengan nilai yang setara, serta membangunkan, menaik taraf dan memulihkan aset-aset bekalan air melalui pembiayaan yang kompetitif.
Sepanjang dua dekad lalu, PAAB muncul sebagai antara pemacu utama transformasi industri air negara melalui pelaksanaan model pembiayaan dan pemilikan aset yang unik, bagi membolehkan syarikat operator air negeri menumpukan sepenuhnya kepada peningkatan kecekapan operasi dan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
10 negeri telah menandatangani Pelan Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negara, sekali gus membolehkan agenda transformasi dilaksanakan secara lebih tersusun, lestari dan berdaya tahan.
Dalam tempoh tersebut juga, PAAB membiayai pengambilalihan pinjaman industri air berjumlah RM23.04 bilion serta melaksanakan pelaburan pembangunan infrastruktur air bernilai RM23.84 bilion.
Secara keseluruhan, jumlah pembiayaan dan pelaburan yang telah disalurkan mencecah RM46.88 bilion, menjadikan PAAB antara peneraju utama pembangunan infrastruktur awam negara.
Sehingga Disember 2025, pelbagai infrastruktur dan aset air strategik termasuk 21 loji rawatan air berkapasiti 2,085 juta liter sehari dan 42 tangki simpanan dengan kapasiti 783 juta liter siap sepenuhnya serta diserahkan kepada syarikat operator air selain 3,263 kilometer jajaran paip disambungkan dan dinaik taraf di seluruh negara.
Kejayaan PAAB bukan hanya diukur melalui nilai pelaburan atau jumlah aset yang dibangunkan, tetapi menerusi impak yang dinikmati penduduk melalui akses kepada bekalan air yang lebih stabil, bersih dan berkualiti setiap hari.
Pada masa sama, PAAB akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda keterjaminan air negara, ke arah mencapai autonomi kewangan, kecemerlangan operasi dan kelestarian industri perkhidmatan air negara menerusi pelan Pemulihan Kos Penuh menjelang tahun 2050.
