PUTRAJAYA, 17 JUN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung ke Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Melaka yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun 2026 di Morten Walk, Melaka.
Mengangkat tema “Jom Singgah SDSI” (Satu Daerah Satu Industri), penganjuran kali kedua karnival ini merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, di bawah inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia bagi memperkukuh budaya keusahawanan, memperluas akses pasaran dan membuka peluang jaringan perniagaan kepada usahawan tempatan.
KHPM Edisi Melaka menghimpunkan pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi menerusi pameran produk, sesi perkongsian ilmu, padanan perniagaan dan khidmat nasihat keusahawanan.
Antara tarikan utama ialah Jualan MADANI KUSKOP (JMK) yang berlangsung sepanjang tiga hari karnival dengan tawaran diskaun 20 peratus bagi 60 jenis barangan keperluan asas seperti beras, tepung, bahan pencuci, ayam, daging, telur dan minyak masak. Sebagai kemuncak penganjuran, promosi happy hour pada tengah hari 21 Jun
akan menyaksikan barangan keperluan asas tersebut dijual pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran. Program ini menyasarkan potensi jualan sebanyak RM135,000 sepanjang tiga hari penganjuran.
Turut diadakan ialah Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) anjuran SME Corp. Malaysia yang menghimpunkan usahawan bersama-sama bakal pembeli, pelabur, pemborong dan syarikat peneraju bagi meneroka peluang pasaran baharu. Setakat ini, tujuh syarikat peneraju dari industri peruncitan dan pemborongan telah mengesahkan penyertaan dalam sesi yang berlangsung sepanjang KHPM bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang di Tapak KHPM dengan sasaran potensi urus niaga RM1 juta.
Bagi memudah cara urusan usahawan, KUSKOP bersama sembilan agensi di bawahnya turut menyediakan Kaunter Konsultasi Keusahawanan yang menawarkan maklumat berkaitan pembiayaan, geran, latihan dan pembangunan kapasiti. Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI agar agensi pembiayaan turun padang untuk membantu usahawan mendepani cabaran ekonomi global.
Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) pula terus menjadi platform penting dalam memperkasa produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus memperkenalkan potensi serta kualiti produk keluaran usahawan SDSI kepada masyarakat dan pelancong.
YB Encik Steven Sim berkata, penganjuran KHPM dijangka memberi limpahan ekonomi kepada Melaka melalui peningkatan aktiviti perniagaan, aliran pengunjung serta permintaan terhadap sektor sokongan seperti perhotelan, makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan pengangkutan tempatan.
Bagi menyemarakkan suasana, pelbagai aktiviti gaya hidup dan komuniti turut disediakan, antaranya Program Halal Sukses KUSKOP, Sembang Usahawan Selebriti, perkongsian ilmu perniagaan, Morten Berselawat, E-Sukan, Wayang Pacak, demonstrasi mencanting batik, Zumba Lambak, Dapur Aneka Rasa, Jom Naik Beca Berhias, Konsert XPDC, Pertandingan Mewarna Kelab Nuri, Treasure Hunt, Pameran Automotif dan EV, Pertandingan Mural dan Grafiti serta cabutan bertuah.
KUSKOP menjemput seluruh warga Melaka dan negeri-negeri berhampiran untuk hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan pelbagai peluang keusahawanan dan menikmati kemeriahan karnival ini.
Hebatkan Perniagaan Malaysia!
