Oleh Dr. Nurul Aishah Khairuddin
Malaysia kini sedang berhadapan dengan dua perubahan besar yang berlaku serentak. Pertama, negara sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara tua apabila bilangan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kedua, kerajaan telah melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam sebagai langkah menghadapi tekanan dan krisis tenaga global. Walaupun kedua-dua isu ini kelihatan tidak berkaitan pada pandangan pertama, sebenarnya terdapat hubungan yang menarik antara dasar BDR dan cabaran penjagaan warga emas yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Apabila membincangkan penuaan penduduk, perhatian sering tertumpu kepada peningkatan kos kesihatan, kemudahan penjagaan atau keperluan memperkukuh sistem perlindungan sosial. Namun, satu aspek yang kurang dibincangkan ialah siapakah yang sebenarnya menjaga warga emas dalam kehidupan seharian mereka. Di Malaysia, sebahagian besar penjagaan warga emas masih bergantung kepada ahli keluarga, terutamanya anak-anak. Mereka membantu menguruskan temu janji hospital, menyediakan makanan, memantau pengambilan ubat serta menemani ibu bapa yang tinggal bersendirian atau mempunyai masalah kesihatan.
Dalam keadaan biasa, ramai pekerja menghadapi cabaran untuk menyeimbangkan tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia. Tidak semua keluarga mempunyai kemampuan untuk mendapatkan khidmat penjaga profesional atau menghantar ibu bapa ke pusat jagaan. Akibatnya, ramai yang terpaksa mengambil cuti, mengurangkan waktu bekerja atau menanggung tekanan kerana perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
Di sinilah dasar BDR berpotensi membawa manfaat yang tidak dijangka. Dengan bekerja dari rumah, sesetengah pekerja mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk memantau keadaan ibu bapa mereka sepanjang hari. Walaupun mereka masih perlu menyelesaikan tugasan pekerjaan seperti biasa, kehadiran di rumah membolehkan mereka bertindak dengan lebih cepat sekiranya berlaku kecemasan atau keperluan tertentu. Sebagai contoh, mereka boleh membantu menyediakan makanan, mengingatkan jadual ubat atau menemani ibu bapa ke klinik tanpa perlu mengambil cuti sepanjang hari.
Selain itu, BDR juga boleh membantu mengurangkan tekanan emosi dalam kalangan penjaga keluarga. Ramai individu yang menjaga warga emas sering berasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa yang mencukupi bersama ibu bapa mereka akibat komitmen kerja. Fleksibiliti yang ditawarkan melalui BDR berpotensi meningkatkan kesejahteraan penjaga dan pada masa yang sama memberi ketenangan kepada warga emas yang memerlukan sokongan harian.
Dari sudut ekonomi isi rumah, pelaksanaan BDR mungkin turut menghasilkan kesan yang positif. Pengurangan kos perjalanan harian seperti minyak, tol dan parking boleh membantu keluarga menjimatkan perbelanjaan bulanan. Sebahagian daripada penjimatan ini mungkin boleh disalurkan kepada keperluan penjagaan warga emas seperti pemeriksaan kesihatan, pembelian ubat atau peralatan sokongan kesihatan di rumah. Walaupun kesan ini mungkin berbeza antara keluarga, ia menunjukkan bahawa manfaat BDR tidak terhad kepada aspek pekerjaan semata-mata.
Namun begitu, BDR bukanlah penyelesaian kepada semua cabaran penjagaan warga emas. Tidak semua pekerjaan sesuai dilaksanakan dari rumah, dan tidak semua warga emas memerlukan tahap penjagaan yang sama. Bagi warga emas yang mengalami masalah kesihatan kronik atau memerlukan penjagaan sepenuh masa, kehadiran ahli keluarga di rumah mungkin masih tidak mencukupi. Selain itu, bekerja sambil menjaga warga emas juga boleh mewujudkan tekanan baharu jika tiada sokongan yang mencukupi daripada majikan atau ahli keluarga lain.
Walaupun demikian, pelaksanaan BDR membuka ruang untuk kita melihat semula hubungan antara dasar pekerjaan dan cabaran penuaan penduduk. Selama ini, isu penjagaan warga emas sering dianggap sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata. Hakikatnya, dasar berkaitan pekerjaan, fleksibiliti waktu bekerja dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan juga memainkan peranan penting dalam menentukan kemampuan keluarga menjaga ahli yang semakin berusia.
Malaysia dijangka terus menyaksikan peningkatan bilangan warga emas dalam beberapa dekad akan datang. Oleh itu, perbincangan mengenai penuaan penduduk tidak seharusnya terhad kepada isu kesihatan dan persaraan sahaja. Kita juga perlu memikirkan bagaimana dasar awam yang lain, termasuk pengaturan kerja yang lebih fleksibel, boleh membantu keluarga menyesuaikan diri dengan perubahan demografi ini. Jika dilaksanakan dengan baik, BDR mungkin bukan sekadar langkah menghadapi krisis tenaga, tetapi juga salah satu pendekatan yang dapat menyokong penjagaan warga emas dalam masyarakat yang semakin menua.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)
