Pelancongan berasaskan komuniti semakin mendapat perhatian sebagai pendekatan penting dalam memperkukuh pembangunan luar bandar yang mampan. Selain menjana pendapatan kepada masyarakat setempat, pendekatan ini turut membantu memelihara warisan budaya, memperkukuh identiti komuniti serta mempromosikan sumber alam semula jadi secara lestari.
Sehubungan itu, Universiti Malaya (UM) menerusi Program Integrated Development of Community Transformation (IDCT) 2.0 telah melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti di Kampung Bolok Hulu Sokmek, Lanchang, Pahang bagi memperkasakan sektor pelancongan desa melalui pendekatan berasaskan budaya, alam semula jadi dan transformasi digital.
Kampung Bolok Hulu Sokmek mempunyai pelbagai keunikan yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti. Terletak berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Deerland, Air Terjun Nerin dan Air Terjun Lengit, kampung ini menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, budaya tempatan dan pengalaman kehidupan desa yang autentik.
Keunikan Kampung Bolok Hulu Sokmek terletak pada komuniti yang masih mengekalkan warisan budaya, bahasa dan pengetahuan tradisional berkaitan alam semula jadi. Identiti budaya yang unik ini, digabungkan dengan keindahan persekitaran semula jadi serta lokasi strategik berhampiran destinasi pelancongan utama di Lanchang, menjadikan Kampung Bolok Hulu Sokmek berpotensi sebagai model pelancongan komuniti yang mampan.
Masyarakat Kampung Bolok Hulu Sokmek masih mengekalkan pelbagai warisan budaya seperti Tarian Piring, Sewang, persembahan silat serta amalan pemprosesan padi secara tradisional. Selain itu, makanan warisan seperti bahulu, lempeng dan dodol terus dipelihara sebagai identiti komuniti setempat dan diwariskan kepada generasi muda.
Salah satu keunikan yang menarik perhatian ialah hidangan ikan patin masak lemak yang terkenal di negeri Pahang. Namun, masyarakat Kampung Bolok Hulu Sokmek mempunyai resipi tersendiri dengan penggunaan serai dan daun cemomok, yang turut dikenali sebagai daun kesing atau pokok pijat. Penggunaan bahan tempatan ini menghasilkan aroma dan rasa yang unik, di samping mencerminkan kekayaan pengetahuan tradisional masyarakat dalam memanfaatkan biodiversiti setempat.
Pelawat ke Kampung Bolok Hulu Sokmek turut berpeluang menikmati makanan tradisional seperti kuih halwa yang diperbuat daripada bahan tempatan. Kuih tradisional ini melambangkan identiti budaya komuniti setempat dan menjadi antara tarikan gastronomi yang unik kepada pengunjung. Keunikan gastronomi ini turut berpotensi menjadi produk pelancongan yang mampu meningkatkan nilai pengalaman pelawat.
Bagi meningkatkan promosi pelancongan kampung, UM turut bekerjasama dengan komuniti membangunkan sebuah laman sesawang pelancongan yang menghimpunkan maklumat mengenai tarikan pelancongan, budaya, makanan tradisional, aktiviti komuniti dan kemudahan penginapan yang terdapat di Kampung Bolok Hulu Sokmek. Platform digital ini diharap dapat meningkatkan keterlihatan Kampung Bolok Hulu Sokmek dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Selain itu, pelawat juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan pakej pelancongan dan aktiviti komuniti melalui laman sesawang tersebut.
Pembangunan laman sesawang ini bukan sekadar platform promosi, malah berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem pelancongan Kampung Bolok Hulu Sokmek. Melalui platform ini, pelawat boleh mendapatkan maklumat mengenai penginapan, aktiviti kebudayaan, makanan tradisional, tarikan alam semula jadi, pakej lawatan komuniti serta pengalaman kehidupan desa yang ditawarkan oleh penduduk setempat. Pendekatan bersepadu ini memudahkan pelawat merancang perjalanan mengikut minat, tempoh lawatan dan bajet masing-masing, sekali gus meningkatkan keterlihatan produk pelancongan kampung secara lebih sistematik.
Pembangunan laman sesawang tersebut dilaksanakan secara kolaboratif antara Universiti Malaya dan Jawatankuasa Pelancongan Kampung Bolok Hulu Sokmek bagi memastikan maklumat yang dipaparkan sentiasa relevan, tepat dan memberi manfaat kepada komuniti. Inisiatif ini dijangka membantu mempromosikan kampung sebagai destinasi pelancongan komuniti yang menawarkan pengalaman budaya, gastronomi dan alam semula jadi secara menyeluruh.
Selain pembangunan laman sesawang, pelajar UM turut menghasilkan bahan promosi digital, dokumentasi budaya serta kandungan media sosial bagi membantu memperkenalkan keunikan Kampung Bolok Hulu Sokmek kepada khalayak yang lebih luas. Pendekatan ini selaras dengan keperluan industri pelancongan masa kini yang semakin dipacu oleh teknologi digital dan media sosial.
Kemuncak kepada inisiatif tersebut ialah penganjuran Mini Showcase Kampung Bolok Hulu Sokmek yang berlangsung pada 17 Mei 2026 di Homestay Shelly Noa yang dirasmikan oleh Dato’ Ridzuan Hazimin bin Ramli, Penyelaras DUN Lanchang yang menyokong penuh inisiatif ini.
Menurut Ketua Kampung Bolok Hulu Sokmek, En. Ruzman Sudin, kerjasama dengan Universiti Malaya telah membuka peluang baharu kepada komuniti untuk memperkenalkan kampung mereka kepada masyarakat luar. Beliau menyatakan bahawa program seperti ini memberi ruang kepada komuniti untuk mengetengahkan budaya, makanan tradisional dan keunikan kampung kepada pelawat, dengan harapan usaha promosi yang berterusan dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata pembangunan pelancongan komuniti perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan budaya, pemerkasaan komuniti dan penggunaan teknologi digital sebagai pemangkin pembangunan luar bandar. Beliau menekankan bahawa pelancongan komuniti bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi juga mekanisme penting untuk memelihara warisan budaya dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Kampung Bolok Hulu Sokmek mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai model pelancongan komuniti mampan yang boleh dicontohi oleh kawasan luar bandar lain di Malaysia. Melalui pendekatan transformasi digital, komuniti setempat dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih meluas, sekali gus meningkatkan daya saing serta membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk.
Kerjasama antara Universiti Malaya dan komuniti Kampung Bolok Hulu Sokmek membuktikan bahawa gabungan ilmu, warisan budaya, sumber alam semula jadi dan teknologi digital mampu menjadi pemangkin pembangunan komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan. Dengan kekayaan budaya, keunikan gastronomi, keindahan alam semula jadi serta penglibatan aktif masyarakat setempat, Kampung Bolok Hulu Sokmek berpotensi muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan komuniti yang signifikan di negeri Pahang dan seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan pelancongan mampan negara.
