MERSING, 30 Sept (Bernama) — Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melabuhkan 20 unit tukun tiruan jenis “cheese block” bernilai RM340,000 di perairan Pulau Tinggi di sini, sekali gus menjadi penggunaan pertama reka bentuk tukun berkenaan di Johor.
Pengarah Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali berkata pemasangan tukun itu merupakan sebahagian daripada usaha pemeliharaan dan pengurusan sumber perikanan bagi mewujudkan habitat baharu serta menambah baik habitat sedia ada.
Beliau berkata tukun berbentuk empat segi dan berongga itu menyediakan ruang perlindungan kepada ikan, manakala permukaan konkrit kerasnya sesuai untuk pelekatan terumbu karang dan larva karang.
“Apabila karang mula tumbuh dan membentuk koloni, mikroorganisma, teritip dan span turut melekat pada struktur berkenaan serta menjadi sumber makanan kepada ikan.
“Apabila terdapat tempat perlindungan dan sumber makanan, ia akan menarik ikan berkumpul dan seterusnya membentuk satu komuniti ekosistem,” katanya kepada Bernama selepas program pelabuhan tukun berkenaan di sini.
Rosmawati berkata habitat yang semakin baik dijangka membantu meningkatkan populasi hidupan marin, sekali gus menyokong pemeliharaan serta kelestarian sumber perikanan dan biodiversiti marin.
Menurutnya, selain mewujudkan habitat dan membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan, tukun “cheese block” turut berfungsi mengurangkan kesan arus serta hakisan pantai.
Beliau berkata reka bentuk tukun berkenaan sebelum ini digunakan di Pulau Redang, Terengganu, dengan hasil pemantauan menunjukkan impak positif sebelum diperluas penggunaannya ke perairan Johor.
Rosmawati berkata sebanyak 262 unit tukun tiruan pelbagai jenis, termasuk tukun penghalang pukat tunda dan tukun kuboid, telah dilabuhkan di beberapa kawasan perairan Johor seperti Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Aur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi tahun ini, DOF turut melaksanakan projek tukun penghalang pukat tunda bernilai RM660,000 sebelum pelabuhan tukun “cheese block” berkenaan, manakala kira-kira RM700,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program tukun tiruan tahun depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosmawati berkata kajian pemantauan sumber marin di Pulau Tinggi sebelum ini merekodkan 33 spesies hidupan marin dengan anggaran biojisim 6,047 kilogram di kawasan yang melibatkan 23 tukun tiruan.
