KUALA TERENGGANU, 30 Sept (Bernama) — Seorang Sarjan Mejar polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat berkaitan operasi atau serbuan polis kepada seorang individu pada 2022.
Roslee Mamat, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Roslee yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu didakwa menerima suapan antara RM400 dan RM1,000 daripada individu berkenaan.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk memberikan perlindungan dengan memaklumkan lebih awal sekiranya terdapat operasi atau serbuan polis, bagi membolehkan individu berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga atau melarikan diri daripada ditangkap.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor serta Masjid Gong Terap di Setiu pada Oktober dan Disember 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim membenarkan Roslee, bapa kepada lima anak, diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh tidak memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, tidak berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Kes disebut semula pada 27 Okt bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar.
