JOHOR BAHRU, 23 Nov (Bernama) —Jika tiada aral, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura akan beroperasi bermula Februari 2027, meningkatkan kesalinghubungan antara Singapura dan Malaysia amnya, serta dengan Johor khususnya.
Berkemampuan mengangkut kira-kira 40,000 penumpang sehari, dengan kekerapan enam minit di luar waktu puncak dan 3.6 minit pada waktu puncak, perkhidmatan ini dijangka membawa limpahan rezeki merentasi pelbagai sektor ekonomi di Johor.
Daripada peniaga kecil hinggalah pemain industri pengangkutan serta hartanah, masing-masing mengharapkan RTS yang menghubungkan Bukit Chagar di sini dengan Woodlands North di Singapura itu mampu meningkatkan pendapatan mereka.
Atau, mungkinkah peningkatan pergerakan rentas sempadan itu hanya menjadikan Malaysia lebih mudah diakses, dan Johor pula sekadar satu persinggahan yang cuma memberi manfaat kepada peniaga di kawasan berdekatan?
PENIAGA KECIL MENANTI LIMPAHAN REZEKI
Pemilik restoran David Chiang, 65, yakin kemudahan perjalanan yang lebih pantas itu akan membuka peluang untuk menarik pelanggan Singapura bukan sahaja pada hujung minggu, tetapi juga pada hari bekerja yang lazimnya kurang sibuk.
“Bila RTS dah buka, orang Singapura nak datang JB pun lebih senang. Mungkin datang untuk sarapan, makan tengah hari, lepas itu pergi membeli-belah dan boleh terus balik.
“Saya rasa mesti jumlah pelanggan dan pengunjung akan bertambah,” katanya.
Chiang turut berkongsi sebahagian besar pelanggan di restorannya yang telah beroperasi sejak kira-kira 80 tahun lalu di Jalan Trus di sini adalah warga republik itu.
Senada, Murni Suratman, 51, yang mengusahakan kedai sarapan di Tebrau sejak 2014, melihat RTS sebagai peluang peniaga memperluas pasaran kepada pengunjung Singapura yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi.
“Kita menjangkakan jumlah pengunjung Singapura boleh bertambah berganda. Ini akan membantu usahawan, peniaga kecil dan pengusaha restoran,” katanya.
Bagaimanapun, peluang itu tidak semestinya dinikmati secara menyeluruh, terutama oleh peniaga yang beroperasi jauh dari pusat bandar atau kawasan tumpuan pelancong.
Pengusaha restoran asam pedas di Kampung Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Iena, menjangkakan pengunjung lebih cenderung memilih destinasi makanan popular seperti Senibong, namun tetap berharap penaiktarafan kawasan sekitar premisnya mampu menarik pelanggan baharu.
Jangkaan peniaga yang ditemui membayangkan limpahan ekonomi RTS Link tidak berlaku secara automatik, tetapi memerlukan usaha memperkenalkan produk tempatan, mempromosikan destinasi di luar kawasan tumpuan serta meningkatkan daya saing perniagaan.
BUKAN SEKADAR DATANG, TETAPI TINGGAL LEBIH LAMA
Jika pengusaha makanan mengharapkan pertambahan pelanggan, industri perhotelan pula berdepan cabaran berbeza, iaitu bagaimana menukar kunjungan singkat ke Johor Bahru kepada penginapan semalaman yang mampu menjana perbelanjaan lebih besar.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor Ivan Teoh berkata RTS Link berpotensi memberi kesan positif kepada semua segmen perhotelan, termasuk hotel lima bintang, kelas pertengahan dan bajet, khususnya premis yang mempunyai akses mudah ke stesen Bukit Chagar.
Beliau berkata kadar penghunian hotel di pusat bandar Johor Bahru ketika ini mencecah 90 peratus pada hujung minggu. Malah, sesetengah hotel mencatatkan penghunian penuh semasa cuti panjang.
Justeru, industri menjangkakan pengoperasian RTS bukan hanya meningkatkan permintaan ketika tempoh puncak, tetapi juga merancakkan tempahan pada hari bekerja.
“Kita jangka kadar penghunian meningkat antara 20 hingga 25 peratus ketika musim puncak kerana kemudahan perjalanan yang lebih lancar mungkin menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura melakukan lawatan sehari untuk membeli-belah, menjamu selera dan berhibur. Akan tetapi, Johor perlu menawarkan lebih banyak pengalaman menarik sekiranya mahu pengunjung bermalam,” katanya.
Beliau berpendapat perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan, pelancongan perubatan, kepelbagaian makanan, hiburan serta destinasi alam semula jadi mampu menjadi tarikan tambahan, termasuk kepada pelancong antarabangsa yang tiba melalui Singapura.
Destinasi di luar Johor Bahru seperti Tanjung Piai, pulau-pulau dan kawasan pelancongan alam semula jadi juga berpotensi mendorong pengunjung melanjutkan tempoh percutian mereka.
“Oleh itu, langkah utama bagi industri perhotelan bukan sekadar menarik lebih ramai pelawat, tetapi menyediakan lebih banyak sebab untuk mereka bermalam,” katanya.
USAHAWAN TEMPATAN JANGAN SEKADAR JADI PEMERHATI
Di sebalik potensi pertumbuhan sektor pelancongan dan perkhidmatan, persoalan tentang penyertaan usahawan tempatan dalam peluang perniagaan yang diwujudkan menerusi pembangunan RTS Link turut mendapat perhatian.
Presiden Dewan Pembangunan Ekonomi Melayu Negeri Johor (MEDEC) Zaini Atan berkata pihaknya mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus ruang perniagaan di kawasan stesen RTS Link diperuntukkan kepada usahawan tempatan, terutamanya bumiputera.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pembangunan berkenaan turut menjadi platform memperkenalkan jenama tempatan kepada pengunjung Singapura dan pelancong antarabangsa, bukan hanya dikuasai rangkaian perniagaan besar.
Menurutnya, jenama tempatan seperti Kopi Tenggek dan Kopi Teman Jiwa mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai sebahagian identiti Johor yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Kekhuatiran kita, bila (RTS Link) buka nanti kita tak nampak syarikat tempatan yang ada dan itu yang kita bimbang. Modal, jenama semua itu tidak ada isu. Bagilah peluang, kalau tidak nanti pelancong datang dia tak nampak identiti Johor itu sendiri,” katanya, menegaskan keutamaan tersebut wajar merangkumi semua pengusaha tempatan tanpa mengira kaum, selagi produk dan perniagaan berkenaan mencerminkan identiti serta keupayaan usahawan negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor Yazid Khalid turut melihat sektor makanan dan minuman, peruncitan serta logistik sebagai antara bidang yang berpotensi menerima manfaat langsung daripada pengoperasian RTS Link.
Namun, beliau berpandangan peluang perniagaan perlu ditawarkan secara telus dan dimaklumkan lebih awal bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuat persediaan dari segi pembiayaan, kapasiti operasi serta pematuhan syarat perniagaan.
Yazid berkata sasaran awal antara 20 hingga 30 peratus ruang perniagaan untuk pengusaha tempatan boleh dipertimbangkan, di samping pelaksanaan sesi libat urus secara berkala antara kerajaan negeri, agensi berkaitan, pengendali projek dan persatuan perniagaan.
Baginya, kejayaan pembangunan ekonomi tidak seharusnya dilihat berdasarkan nilai pelaburan atau pertambahan pengunjung semata-mata. Sebaliknya, perlu turut mengambil kira peluang pekerjaan dan perniagaan yang dapat diwujudkan untuk masyarakat setempat.
E-PANGGILAN: LEBIH RAMAI PENUMPANG, BELUM TENTU LEBIH PENDAPATAN
Dalam sektor pengangkutan, kehadiran RTS Link pula membawa harapan dan cabaran yang perlu ditangani secara seimbang.
Bagi pemandu e-panggilan Mohd Sabran Md Sani, 47, pertambahan pergerakan penumpang di Johor Bahru berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan tempatan, namun tidak semestinya menjamin pendapatan lebih baik kepada pemandu.
Beliau berkata pemandu ketika ini berdepan tekanan akibat kadar tambang yang rendah dengan sesetengah perjalanan jarak dekat memberikan pulangan bersih serendah RM4, selain perlu menanggung kos petrol dan penyelenggaraan kenderaan.
Menurutnya, persaingan daripada perkhidmatan bas yang menawarkan tambang lebih murah turut mempengaruhi permintaan terhadap e-panggilan, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan lebih mengutamakan penjimatan kos perjalanan.
“Memang tak dinafikan projek itu beri impak besar kepada industri pengangkutan di sini, namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesan jangka panjang kerana ketika ini pemandu e-hailing bergelut dengan pelbagai situasi termasuk kadar tambang yang tidak memenangkan kami,” katanya.
Beliau berkata walaupun pengguna mendapat manfaat daripada pilihan pengangkutan lebih murah, kebajikan serta kemampuan pemandu menjana pendapatan bersih yang munasabah juga perlu diberi perhatian.
Situasi itu menunjukkan pengoperasian RTS Link perlu dilihat dalam konteks pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, termasuk hubungan antara stesen dengan destinasi tumpuan, kawasan perumahan dan pusat perniagaan.
HARTANAH TURUT MENANTI LONJAKAN
Selain sektor perkhidmatan dan pelancongan, pasaran hartanah Johor juga dijangka menerima manfaat daripada pengoperasian RTS Link, khususnya apabila hubungan pengangkutan yang lebih cekap menjadikan Johor pilihan lebih praktikal untuk didiami.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Selatan) dan Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata gabungan RTS Link dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan jangka panjang pasaran hartanah negeri itu.
Beliau berkata perjalanan kereta api selama kira-kira lima minit antara Bukit Chagar dan Woodlands North berpotensi mengubah pertimbangan orang ramai dalam memilih tempat tinggal, bekerja serta melabur.
“RTS Link akan menjadikan Johor lebih mudah diakses, manakala JS-SEZ akan mewujudkan lebih banyak sebab untuk orang ramai tinggal dan bekerja di sini.
“Gabungan kedua-dua faktor inilah yang memberikan keyakinan kepada kami terhadap prospek jangka panjang pasaran hartanah Johor,” katanya.
Menurut Gerard, pelaburan diluluskan berjumlah kira-kira RM110 bilion yang direkodkan Johor pada 2025 dan RM59.4 bilion pada separuh pertama 2026, turut memberikan asas positif kepada pertumbuhan sektor itu apabila pelaburan berkenaan diterjemahkan kepada pembukaan perniagaan dan pewujudan pekerjaan.
Beliau berkata JS-SEZ juga dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 20,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus berpotensi merangsang permintaan perumahan daripada golongan profesional dan pekerja berkemahiran.
Kawasan sekitar Bukit Chagar, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta pusat bandar Johor Bahru dijangka menjadi antara lokasi terawal menerima manfaat, manakala pembangunan rangkaian pengangkutan lebih menyeluruh berpotensi memperluas kesannya ke kawasan lain.
Bagaimanapun, Gerard mengingatkan pertumbuhan pasaran hartanah yang mampan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan jangkaan kenaikan harga semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh transaksi sebenar, permintaan sewaan dan keputusan orang ramai untuk menetap di Johor.
“Pasaran hartanah yang mampan adalah pasaran yang menyaksikan pemaju membina secara bertanggungjawab, pembeli membuat keputusan termaklum dan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang memiliki rumah berkualiti,” katanya.
Mengambil kira pandangan pemain ekonomi merentasi pelbagai sektor, dapat dirumuskan pengoperasian RTS Link mampu membawa limpahan ekonomi, namun bagi memastikan manfaat itu benar-benar memberikan kesan menyeluruh, ekosistem ekonomi tempatan harus dipersiapkan dengan pelbagai penambahbaikan.
