MELAKA 11 Ogos 2026 – Presiden de facto Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli, mengumumkan penganjuran dua program akar umbi iaitu Kenduri Bersama dan Futsal Bersama di Melaka pada Sabtu, 15 Ogos 2026.
Menurut Rafizi dalam satu siaran di X, program-program ini merupakan sebahagian daripada usaha parti yang baru dilancarkan semula tiga bulan lalu untuk membentuk budaya politik baharu yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Kita mementingkan budaya politik yang menawarkan khidmat kepada orang ramai secara sukarela. Manfaatnya adalah orang biasa kerana ahli BERSAMA sentiasa prihatin dan dekat dengan orang ramai, bukan sibuk berpolitik untuk menang pilihan raya semata-mata,” katanya.
Kenduri Bersama akan diadakan di halaman rumah Cikgu Fatimah, No. 124, Jalan Kampung Musai, Bukit Piatu, Melaka bermula jam 9 pagi. Peserta digalakkan bergotong-royong menyediakan makanan. Antara kaunter khidmat yang disediakan termasuk kaunter kesihatan, undang-undang, kerjaya, eSports dan robotik.
Sementara itu, pertandingan Futsal Bersama akan berlangsung di Kompleks Sukan Batu Berendam, terbuka kepada 48 pasukan dengan hadiah tunai RM3,000 dan pingat.
Rafizi yang juga akan turut serta memotong bawang dan membasuh pinggan di kenduri tersebut, serta bersedia menjadi pengadil futsal, menjemput semua penduduk sekitar Melaka untuk menyertai kedua-dua program tersebut.
Pendaftaran untuk Kenduri Bersama boleh dibuat melalui laman web bersama.org atau aplikasi Kancil, manakala pasukan futsal boleh mendaftar di pautan yang disediakan.
Program ini akan dimulakan di Melaka sebelum diperluaskan ke seluruh negara oleh ahli-ahli BERSAMA.
