KUCHING, 26 Nov — Sarawak sudah mula memasang strategi! Penyediaan kapasiti penginapan menjadi antara aspek terawal yang diberi perhatian menjelang penganjuran Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2029 di negeri itu, temasya yang dijangka menghimpunkan delegasi daripada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penganjuran temasya itu turut dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam diplomasi sukan dan pelancongan negeri, menurut laporan Bernama hari ini.
“Putera Mahkota Arab Saudi (Mohammed bin Salman) juga dijangka hadir. Saya dapat merasakan minat negara-negara anggota ketika menerima watikah (hak penganjuran ISG 2029),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Menurut Abdul Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, ramai wakil negara anggota menunjukkan minat untuk hadir selepas ditayangkan video yang memperkenalkan Sarawak dan Borneo.
Lebih menarik, Sarawak sebagai tuan rumah terbuka untuk menyalurkan bantuan pembiayaan bagi memudahkan penyertaan beberapa negara kecil, khususnya dari benua Afrika, berikutan potensi kesan limpahan pelancongan.
“Bagi sesetengah negara Afrika, kita mungkin perlu membiayai penyertaan mereka… kalau tidak silap saya, terdapat 22 negara kecil. Namun, kita telah memaklumkan kepada penganjur, iaitu Arab Saudi yang memegang hak penganjuran, bahawa kita tidak keberatan untuk membantu kerana manfaat limpahan dari segi pelancongan,” katanya.
Mengulas isu penginapan, beliau berkata kehadiran puluhan ketua negara serta delegasi luar memerlukan penyelarasan teliti, termasuk kemungkinan penempatan secara berkongsi mengikut kapasiti hotel sedia ada di negeri itu.
Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan pihaknya masih mempunyai ruang masa yang panjang untuk menilai dan menyusun perancangan tersebut memandangkan temasya itu dijadualkan pada 2029, selain mengambil kira situasi semasa di Asia Barat.
Sarawak dilaporkan memperoleh hak penganjuran ISG 2029 pada September lalu ketika lawatan Abdul Karim ke Taif, Arab Saudi, yang menyaksikan satu perjanjian dimeterai.
Kenyataan itu dibuat dalam temu bual bersama Bernama sempena kunjungan hormat delegasi agensi berita nasional itu yang diketuai Ketua Pengarang Bernama, Datuk Arul Rajoo Durar Raj. Sarawak kini mempunyai lebih tiga tahun untuk memastikan Bumi Kenyalang benar-benar bersedia menyambut tetamu dari seluruh dunia Islam.
Sumber: Bernama.
