Oleh Prof. Madya Dr. Zuwati Hasim dan Dr. Simah Mamat
Dalam masyarakat yang menyanjung tinggi pencapaian akademik, keputusan cemerlang sering dianggap tiket utama ke dunia kerjaya. Ibu bapa, guru dan pelajar sendiri menaruh harapan bahawa gred yang tinggi akan membuka pintu pekerjaan yang stabil dan berprestij. Namun, dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik dan dipacu teknologi, persoalan yang wajar ditanya ialah adakah kecemerlangan akademik sahaja mencukupi untuk menempah kerjaya yang cemerlang?
Hakikatnya, kecemerlangan akademik masih penting kerana ia mencerminkan disiplin, keupayaan memahami konsep, serta kebolehan menyelesaikan masalah secara sistematik. Banyak organisasi masih menjadikan kelayakan akademik sebagai penapis awal dalam proses pengambilan pekerja. Walau bagaimanapun, ia bukan lagi satu-satunya ukuran kerana majikan hari ini semakin menilai calon secara holistik, termasuk kemahiran insaniah, pengalaman praktikal, dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Perubahan ini didorong oleh Revolusi Industri 4.0 dan peralihan ke era ekonomi digital serta kecerdasan buatan. Pekerjaan menjadi lebih kompleks, memerlukan individu yang bukan sahaja tahu, tetapi juga mampu mengaplikasi, berinovasi dan berkolaborasi. Dalam konteks ini, graduan yang hanya bergantung kepada pencapaian akademik tanpa kemahiran tambahan mungkin berdepan cabaran untuk menonjol dalam pasaran kerja yang kompetitif.
Di sinilah kepentingan penglibatan aktif dalam kokurikulum dan aktiviti kampus menjadi sangat signifikan. Pengalaman di luar bilik kuliah sering menjadi ‘makmal kehidupan sebenar’ yang tidak dapat digantikan oleh teori semata-mata. Melalui penyertaan dalam persatuan, kelab, badan sukarelawan atau organisasi pelajar, mahasiswa berpeluang membina kemahiran praktikal yang amat dihargai oleh majikan.
Sebagai contoh, memegang jawatan dalam persatuan pelajar dapat melatih kemahiran kepimpinan, pengurusan masa dan pengendalian konflik. Selain itu, penganjuran program atau acara kampus dapat mengasah kemahiran perancangan, komunikasi dan kerja berpasukan. Begitu juga aktiviti sukarelawan membantu membina empati, kepekaan sosial dan keupayaan bekerja dengan komuniti yang pelbagai. Semua ini merupakan kemahiran yang jarang diajar secara langsung dalam kuliah, tetapi sangat penting dalam dunia pekerjaan sebenar.
Selain itu, penglibatan aktif juga membantu pelajar membina rangkaian (networking) yang luas. Hubungan dengan rakan, pensyarah, alumni dan pihak industri boleh membuka peluang latihan industri, projek kolaborasi dan bahkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Majikan sering melihat pengalaman kokurikulum sebagai indikator sikap proaktif dan kebolehan seseorang untuk menyumbang di luar skop tugas akademik.
Apakah yang dimaksudkan dengan bakat (future-ready)?
Future-ready merujuk kepada individu yang bersedia menghadapi perubahan masa depan dengan sikap proaktif, kemahiran pelbagai, dan minda pembelajaran berterusan. Majikan kini mencari bakat yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, tetapi juga fleksibel dan mampu berkembang seiring keperluan industri.
Berikut adalah beberapa tip dan ciri utama future-ready talents yang dicari oleh majikan:
1. Kemahiran Berfikir Kritis dan Penyelesaian Masalah: Mampu menganalisis situasi sebenar. Kemahiran ini sering diasah melalui penglibatan dalam projek dan aktiviti kampus, bukan sekadar peperiksaan.
2. Kemahiran Komunikasi yang Berkesan: Aktiviti seperti debat, pembentangan dan pengendalian program membantu meningkatkan keyakinan dan kejelasan komunikasi.
3. Kebolehsuaian dan Fleksibiliti: Mengurus pelbagai peranan dalam akademik dan kokurikulum untuk melatih pelajar menjadi lebih anjal dan bersedia menghadapi perubahan.
4. Literasi Digital dan Teknologi: Penglibatan dalam projek, media sosial organisasi atau program inovasi membantu pelajar menguasai alat digital secara praktikal.
5. Pembelajaran Sepanjang Hayat (Lifelong Learning): Pelajar yang aktif biasanya lebih cenderung mencari pengalaman baharu dan belajar di luar silibus.
6. Kemahiran Kolaborasi dan Kerja Berpasukan: Hampir semua aktiviti kampus memerlukan kerjasama, menjadikannya platform terbaik untuk memupuk kemahiran ini.
7. Kepimpinan dan Inisiatif: Mengambil peranan dalam organisasi pelajar menunjukkan keupayaan memimpin dan bertindak tanpa menunggu arahan.
8. Etika Kerja dan Integriti: Mengurus tanggungjawab dalam aktiviti kampus dapat membantu membentuk sikap amanah dan profesional.
Mengimbangi akademik dan penglibatan kampus
Walaupun penglibatan kokurikulum penting, keseimbangan tetap perlu dijaga. Matlamatnya bukan untuk memilih antara akademik atau aktiviti, tetapi mengintegrasikan kedua-duanya secara strategik. Pelajar yang bijak mengurus masa akan dapat mencapai kecemerlangan akademik sambil aktif dalam aktiviti yang membina diri.
Institusi pendidikan juga perlu mengiktiraf kepentingan pengalaman luar bilik kuliah ini dengan menyediakan platform yang menyokong pembangunan holistik pelajar. Pendekatan pendidikan yang seimbang akan melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi juga kompeten dalam realiti pekerjaan.
Kesimpulan
Kecemerlangan akademik masih relevan dan penting sebagai asas kejayaan. Namun, ia tidak mencukupi untuk menjamin kerjaya yang cemerlang. Penglibatan aktif dalam kokurikulum dan aktiviti kampus memberikan nilai tambah yang signifikan dengan membina kemahiran dunia sebenar yang tidak diajar dalam kuliah. Dalam dunia yang sentiasa berubah, majikan mencari individu yang future-ready, iaitu mereka yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berpengalaman, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Prof. Madya Dr. Zuwati Hasim dan Dr. Simah Mamat berasal dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
