Oleh Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid
Seorang pelajar kolej berusia 19 tahun ditemui mati dengan 61 kesan tikaman di Kelantan. Di Sabah, seorang wanita dipercayai dibunuh dan dikerat oleh bekas tunangnya selepas hubungan mereka berakhir. Bahagian tubuh mangsa ditemui dalam tong sampah di beberapa lokasi di Sepanggar. Di Perak pula, negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian seorang wanita dalam kes pembunuhan yang menimbulkan persoalan besar mengenai keganasan terhadap wanita dan kegagalan intervensi awal.
Ini bukan sekadar kes bunuh biasa. Ia adalah manifestasi keganasan berasaskan gender yang semakin membimbangkan di Malaysia. Cara wanita-wanita ini dibunuh amat signifikan. Kekejaman itu penting. Tikaman berulang kali itu penting. Perlakuan terhadap tubuh mangsa itu penting.
Dalam dunia kriminologi, semua ini membawa makna. Apabila seseorang wanita ditikam sehingga 61 kali, ia bukan lagi sekadar tindakan untuk “membunuh”. Ia sering mencerminkan kemarahan melampau, kebencian, obsesi, penghinaan, rasa memiliki, dan keinginan untuk menguasai atau “menghukum” mangsa.
Begitu juga dalam kes mengerat tubuh badan mangsa (dismemberment). Ini jarang berlaku secara rawak. Ia lazimnya melibatkan hubungan emosi atau hubungan intim antara pelaku dan mangsa. Tubuh mangsa menjadi simbol kawalan dan dominasi walaupun selepas kematian.
Sebab itu kes-kes seperti ini tidak boleh lagi dianggap sebagai: “masalah hubungan,” “cemburu,” “hilang sabar,” atau “konflik peribadi.” Bahasa sebegini terlalu meremehkan realiti sebenar. Apa yang sedang kita lihat ialah sebahagian daripada pola femisid.
Femisid merujuk kepada pembunuhan wanita yang berlaku dalam konteks misogini, kawalan, possiveness, penolakan hubungan, dominasi, atau keganasan terhadap wanita kerana identiti gender mereka. Dalam banyak kes femisid di seluruh dunia, pembunuh bukan orang asing. Mereka ialah suami, bekas pasangan, teman lelaki, tunang, atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.
Dan sebelum pembunuhan berlaku, biasanya sudah ada tanda-tanda awal seperti ugutan, sikap mengongkong terhadap wanita itu dari lelaki terlibat, hendapan, kawalan pergerakan, pengasingan mangsa daripada orang lain, cemburu yang melampau, penderaan emosi, atau keganasan domestik.
Namun masyarakat sering menganggap semua itu sebagai perkara biasa. Kita masih mendengar ayat seperti: “Dia terlalu sayang.” “Biasalah pasangan gaduh.” “Dia cemburu sebab cinta.” “Kalau perempuan tu tinggalkan dia awal-awal mungkin tak jadi macam ni.” Naratif sebegini sangat berbahaya kerana ia secara halus memindahkan perhatian daripada keganasan pelaku kepada tindakan mangsa. Lebih membimbangkan, ia menormalisasikan kawalan dan penderaan terhadap wanita.
Dari sudut kriminologi, femisid sebenarnya berkait rapat dengan isu kuasa dan pemilikan. Ada pelaku yang tidak dapat menerima penolakan, perpisahan, atau kehilangan kawalan terhadap wanita yang pernah menjadi pasangan mereka. Apabila kawalan itu hilang, keganasan menjadi alat untuk mendapatkan semula dominasi.
Dalam sesetengah kes, pembunuhan bukan sahaja bertujuan menamatkan nyawa, tetapi juga “menghukum” mangsa kerana dianggap mencabar ego, maruah, atau kuasa pelaku. Sebab itu jumlah tikaman penting. Sebab itu kekejaman penting. Sebab itu hubungan antara pelaku dan mangsa penting. Semua ini menunjukkan bahawa keganasan tersebut mempunyai dimensi gender yang sangat jelas.
Masyarakat kita perlu mula berbincang secara serius tentang femisid. Hari ini, kebanyakan kes masih dilihat hanya sebagai pembunuhan biasa di bawah Kanun Keseksaan. Tetapi apabila pola yang sama terus berulang yang melibatkan pasangan intim, bekas pasangan, cemburu obsesif, kawalan ‘’coercive’’, dan kekejaman melampau, kita tidak lagi boleh berpura-pura bahawa semua ini sekadar kes terpencil.
Masalah ini bukan hanya isu jenayah. Ia juga isu budaya, maskuliniti toksik, sikap “possessive” terhadap wanita, dan bagaimana masyarakat masih membenarkan kawalan terhadap wanita dianggap normal. Ia juga isu kegagalan sistem dan struktur sosial.
Terlalu banyak tanda amaran dipandang ringan sehingga tragedi berlaku. Aduan gangguan, ugutan, hendapan, dan penderaan sering dianggap “hal rumah tangga”. Mangsa pula kadangkala terperangkap kerana takut, malu, bergantung secara kewangan, atau tidak yakin mereka benar-benar dilindungi. Kemudian apabila wanita itu mati, masyarakat mula terkejut.
Hakikatnya, femisid jarang bermula dengan pembunuhan. Ia bermula dengan kawalan yang masyarakat benarkan. Dengan ugutan yang orang abaikan. Dengan penderaan yang dianggap normal. Dan dengan ketakutan wanita yang dipaksa dipendam secara senyap.
Malaysia tidak boleh terus bersikap reaktif. Kita memerlukan intervensi awal yang lebih serius, tindakan lebih tegas terhadap stalking dan “coercive control”, perlindungan lebih berkesan untuk wanita yang menerima ancaman, latihan lebih lebih berkesan kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti risiko pembunuhan, dan perubahan budaya masyarakat terhadap keganasan gender.
Paling penting, kita mesti berhenti menganggap keganasan terhadap wanita sebagai sesuatu yang biasa. Kerana apabila wanita ditikam puluhan kali, dikerat, dibunuh dengan penuh kebencian oleh orang yang pernah mereka percaya dan cintai, kita tidak lagi boleh menyebutnya sekadar “konflik rumah tangga”. Kita mesti berani menamakan realitinya: Femisid.

Penulis merupakan Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
