Oleh Dr. Mohd Afifuddin Mohamad
Setiap kali menjelang 16 Mei, negara akan menyambut Hari Guru Malaysia dengan penuh warna. Pentas dihias indah, murid membawa bunga, ucapan terima kasih bergema di dewan sekolah. Guru diraikan sebagai insan mulia yang membentuk masa depan bangsa. Namun, di sebalik suasana penghargaan itu, ada satu sisi yang jarang disentuh, sisi sunyi yang tidak terlihat, luka yang tidak pernah ditanya.
Di hadapan kelas, seorang guru berdiri dengan senyuman yang tenang. Suaranya lembut, tersusun, penuh keyakinan. Dia menyusun kata demi kata, mengajar huruf menjadi makna, angka menjadi ilmu, dan kehidupan menjadi pelajaran. Namun di sebalik senyuman itu, tersembunyi satu dunia yang sarat dengan tekanan, keletihan emosi, dan beban yang dipikul sendirian. Guru sering diibaratkan seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Lilin itu memberi cahaya, tetapi dalam masa yang sama perlahan-lahan habis tanpa disedari. Begitulah guru, memberi tanpa banyak meminta, namun siapa yang memerhati lilin itu ketika ia hampir padam.
Masih terngiang satu monolog yang mungkin tidak pernah diucapkan, tetapi dirasai oleh ramai guru. “Hari ini semua orang ucap terima kasih, tapi esok aku kembali ke kelas dengan beban yang sama, dan hati aku masih penat.” Inilah realiti yang sering tersembunyi di sebalik sambutan Hari Guru. Setelah bunga layu dan ucapan berakhir, guru kembali ke medan sebenar, menghadapi cabaran pelajar, tekanan sistem, dan tuntutan kerja yang tidak pernah selesai.
Dari sudut psikologi, keadaan ini dikenali sebagai keletihan emosi atau emotional burnout, iaitu apabila seseorang terlalu lama memberi tanpa ruang untuk memulihkan diri. Guru yang mengalami keadaan ini bukan sahaja berasa letih secara fizikal, tetapi juga kehilangan semangat, makna, dan kepuasan dalam kerja. Oleh itu, penting untuk guru mempunyai kesedaran emosi, mengakui bahawa mereka juga manusia yang boleh penat, marah, dan kecewa. Dalam masa yang sama, sokongan sosial di tempat kerja perlu diperkukuh agar sekolah menjadi ruang yang saling menguatkan, bukan menekan. Guru juga perlu dibantu untuk menetapkan sempadan kerja dan menjaga keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya agar jiwa tidak kehabisan tenaga.
Dalam pendekatan psikospiritual, Islam memberikan kekuatan dalaman yang sangat besar kepada seorang guru. Firman Allah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 mengangkat darjat orang-orang yang berilmu, sekali gus memuliakan mereka yang menyampaikan ilmu. Ini memberi makna bahawa setiap penat lelah guru tidak pernah sia-sia di sisi Allah. Zikir, doa, dan hubungan yang dekat dengan Tuhan menjadi penawar kepada jiwa yang letih.
Seorang sarjana besar, Imam Al-Ghazali pernah mengingatkan bahawa seorang guru itu ibarat doktor kepada hati manusia, yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi merawat jiwa dan akhlak. Manakala tokoh ulama agung Imam Al-Shafi’i pula menegaskan bahawa ilmu tidak akan diperoleh tanpa adab dan penghormatan kepada guru. Bahkan dalam tradisi Barat, William Arthur Ward menyatakan, “The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires.” yang bermaksud, “Guru biasa hanya memberitahu. Guru yang baik menerangkan. Guru yang hebat menunjukkan. Namun guru yang agung memberi inspirasi.” Kata-kata ini menggambarkan bahawa guru yang sebenar bukan sekadar menyampaikan fakta, tetapi menyentuh jiwa dan membangkitkan makna dalam kehidupan pelajar.
Jika kita menelusuri tradisi ilmuwan Islam, kita akan menemukan satu nilai yang semakin hilang dalam masyarakat hari ini, iaitu adab terhadap guru. Dalam karya agung Ta’lim al-Muta’allim oleh Burhan al-Din al-Zarnuji, ditekankan bahawa keberkatan ilmu tidak hanya terletak pada kecerdasan, tetapi pada adab dan penghormatan terhadap guru. Seorang pelajar diajar untuk tidak mendahului guru dalam percakapan, tidak mengangkat suara, dan sentiasa merendahkan diri di hadapan ilmu. Tradisi ini membentuk hubungan jiwa antara guru dan murid, bukan sekadar hubungan akademik yang kering.
Namun, nilai ini semakin terhakis dalam dunia moden. Guru sering dilihat hanya sebagai pekerja yang menjalankan tugas, bukan sebagai pembimbing jiwa. Apabila adab terhadap guru hilang, maka hilanglah keberkatan dalam ilmu, dan bertambahlah tekanan kepada guru yang bukan sahaja perlu mengajar, tetapi juga berhadapan dengan sikap yang semakin mencabar.
Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa dalam menghidupkan kembali tradisi ini. Pendidikan tidak bermula di sekolah, tetapi di rumah. Apabila ibu bapa menghormati guru di hadapan anak-anak, mereka sebenarnya sedang menanam benih adab dalam jiwa anak. Sebaliknya, apabila guru dipersoalkan secara terbuka tanpa hikmah, anak akan kehilangan rasa hormat, dan ini menjadikan tugas guru semakin berat. Ibu bapa perlu melihat guru sebagai rakan dalam mendidik, bukan pihak yang perlu dipersalahkan. Sokongan emosi yang diberikan kepada anak di rumah juga membantu menjadikan anak lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh guru di sekolah.
Dalam masa yang sama, anak murid perlu kembali memahami hakikat sebenar menuntut ilmu. Ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk membentuk diri menjadi manusia. Menghormati guru, mendengar dengan penuh perhatian, menjaga tingkah laku, dan tidak menjadi punca tekanan adalah antara bentuk penghargaan yang paling bermakna. Bahkan dalam tradisi Islam, doa seorang pelajar kepada gurunya dianggap sebagai tanda kesyukuran yang tinggi terhadap ilmu yang diterima.
Akhirnya, apabila kita menyambut Hari Guru setiap 16 Mei, kita perlu melangkaui sekadar ucapan dan hadiah. Hari itu seharusnya menjadi titik muhasabah untuk seluruh masyarakat. Kita perlu bertanya dengan jujur, adakah kita benar-benar memahami guru, atau sekadar menghargai mereka secara bermusim. Maka di sinilah seruan kita sebagai masyarakat. Hargailah guru bukan hanya pada hari sambutan, tetapi setiap hari. Ucapkanlah “terima kasih cikgu” dengan penuh keikhlasan, walaupun hanya dengan satu mesej ringkas. Hormatilah mereka di hadapan anak-anak, doakan mereka dalam diam, dan sokonglah mereka dengan tindakan yang nyata. Kerana mungkin bagi kita ia kecil, tetapi bagi seorang guru, penghargaan itu mampu menjadi kekuatan untuk terus bertahan.
Kerana hakikatnya, di sebalik setiap senyuman guru, ada jiwa yang sedang berjuang. Ada cerita yang tidak pernah diceritakan, ada air mata yang tidak pernah ditunjukkan, dan ada luka yang tidak pernah ditanya.
Dan mungkin, perubahan besar dalam dunia pendidikan tidak bermula dengan sistem yang kompleks, tetapi dengan satu perkara yang sangat sederhana, kita mula mengembalikan adab, kita mula menghargai, dan kita mula melihat guru bukan sekadar sebagai pendidik, tetapi sebagai pewaris tradisi ilmu yang mulia.

Dr. Mohd Afifuddin Mohamad merupakan Pensyarah Psikologi dan Psikospiritual di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM).
