Oleh Che Mohd Farhan bin Che Mat Dusuki
Hari Pekerja disambut pada setiap 1 Mei sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja di seluruh dunia yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi. Dalam banyak keadaan, tarikh ini juga memberi ruang kepada sebahagian pekerja untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Namun, terdapat juga mereka yang terpaksa mengorbankan cuti demi amanah dan tanggungjawab terhadap tuntutan kerja yang tidak dapat ditangguhkan, sama ada dalam sektor perkhidmatan, operasi harian mahupun tugasan yang menuntut kehadiran berterusan.
Menyebut tentang pengorbanan, ia tidak hanya terhad kepada mereka yang bekerja pada hari cuti atau yang kerap melakukan kerja lebih masa. Dalam dunia pekerjaan yang lebih luas, makna pengorbanan boleh hadir dalam pelbagai bentuk, sama ada yang dapat dilihat mahupun yang tersembunyi di sebalik budaya kerja yang amanah. Ada yang sanggup bekerja lebih masa, pulang lewat demi mendapatkan bayaran tambahan yang membantu menampung keperluan hidup. Ada juga yang mengejar sasaran prestasi, memastikan setiap indikator dipenuhi kerana di situlah terletaknya penilaian kerjaya mereka. Ini merupakan bentuk usaha yang jelas kelihatan dalam sistem kerja hari ini.
Namun dalam masa yang sama, ada juga yang mengorbankan masa, tenaga dan perhatian bukan kerana ganjaran atau sasaran yang ditetapkan majikan, tetapi kerana piawai kerja yang mereka sendiri tetapkan, meskipun usaha itu tidak selalu disedari atau dihargai secara langsung. Perbezaan ini jarang dibincangkan secara terbuka, tetapi ia menggambarkan satu hakikat penting tentang dunia kerja hari ini, iaitu tidak semua orang bekerja atas alasan yang sama dan tidak semua usaha boleh dinilai dengan ukuran yang seragam. Dalam suasana yang semakin menekankan pencapaian angka dan laporan prestasi, kita cenderung melihat kerja melalui apa yang boleh diukur. Namun di sebalik itu, terdapat nilai yang dibawa oleh seseorang pekerja yang sering terlepas daripada perhatian.
Apabila seseorang bekerja semata-mata kerana ganjaran, dia akan berhenti pada titik di mana ganjaran itu berakhir. Tetapi apabila kerja dilihat sebagai suatu amanah, sempadannya menjadi berbeza. Bukan bermakna semua orang perlu berkorban tanpa had atau menafikan hak terhadap imbuhan yang adil. Sebaliknya, ia berkait dengan sikap terhadap tanggungjawab yang dipegang. Dalam banyak keadaan, kualiti kerja sebenar tidak ditentukan oleh seberapa banyak yang diminta oleh sistem, tetapi pada tahap ketelitian dan kesungguhan seseorang dalam melaksanakan tanggungjawabnya, walaupun tanpa penilaian atau perhatian yang jelas.
Di sinilah persoalan tentang jati diri mula timbul. Dalam persekitaran kerja yang pelbagai, jati diri bukan lagi sekadar konsep abstrak yang dibincangkan di ruang teori. Ia menjadi kompas dalaman yang memandu keputusan kecil setiap hari. Sama ada untuk melakukan sesuatu sekadar cukup syarat atau memilih untuk melakukannya dengan lebih teliti. Sama ada untuk mengambil jalan mudah kerana tiada tekanan atau kekal berpegang pada standard sendiri walaupun tiada ganjaran tambahan. Dalam diam, pilihan-pilihan kecil ini membentuk reputasi seseorang, walaupun tanpa sebarang penghargaan yang mengiktiraf budaya kerja mereka secara rasmi.
Penghargaan terhadap pekerja tidak selalu hadir dalam bentuk anugerah atau pengiktirafan besar. Kadangkala ia hadir dalam bentuk yang lebih senyap, iaitu persekitaran kerja yang tenang, saling memahami, saling menghormati, dan diberi kepercayaan untuk melaksanakan amanah tanpa kawalan yang berlebihan. Inilah bentuk penghargaan yang paling memberi kesan kepada semangat kerja seseorang. Persekitaran yang sihat tidak hanya diukur melalui produktiviti, tetapi melalui cara manusia dalam organisasi itu berinteraksi. Adakah mereka saling membantu atau bersaing secara tidak sihat? Adakah kesilapan dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki atau sekadar bahan untuk menyalahkan? Adakah kejayaan diraikan bersama atau hanya menjadi milik segelintir pihak? Budaya seperti ini tidak terbentuk secara kebetulan, tetapi melalui sikap kolektif yang dipupuk dari semasa ke semasa.
Oleh yang demikian, dalam membina budaya kerja yang baik, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada organisasi semata-mata. Setiap individu membawa nilai dan sikap masing-masing ke dalam tempat kerja. Jika seseorang memilih untuk bersikap sambalewa kerana merasakan usahanya tidak dihargai, kesannya mungkin bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem kerja. Sebaliknya, apabila seseorang kekal berpegang pada integriti walaupun dalam keadaan yang tidak ideal, ia secara perlahan membina standard yang boleh mempengaruhi orang di sekelilingnya.
Sempena Hari Pekerja, mungkin kita tidak hanya meraikan kerja yang telah dilakukan, tetapi juga merenung semula nilai yang terus menghidupkan dunia pekerjaan itu sendiri. Ia bukan sekadar tentang apa yang dicapai, tetapi tentang bagaimana sesuatu kerja itu dilaksanakan dan bagaimana nilai di sebaliknya membentuk kualiti sebuah masyarakat bekerja. Dunia kerja akan terus berubah dengan pelbagai sistem dan tuntutan baharu. Namun satu perkara yang kekal ialah pilihan yang dibuat oleh setiap individu dalam menjalankan tugasnya. Sama ada untuk sekadar memenuhi apa yang diminta atau untuk mengekalkan satu standard yang lahir daripada jati diri sendiri. Dalam pilihan-pilihan kecil inilah sebenarnya terbentuk makna bekerja yang sebenar, yang tidak selalu dapat diukur, tetapi sentiasa dapat dirasakan.

Penulis merupakan Pensyarah Asasi di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya
