Oleh Mohamad Adam Rozani
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan dasar madani yang menjadikan masyarakat beradab sebagai teras kehidupan bernegara. Ia juga terkenal dengan komposisi masyarakat majmuk yang merangkumi pelbagai kaum dan agama serta beragam budaya yang unik dan menarik. Ironinya, dalam memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara madani, terdapat pihak cuba mengetengahkan budaya hedonisme yang tiada akar tradisi yang kuat dalam masyarakat Malaysia. Ia menonjolkan aspek sensual dan keseronokan tanpa batasan keagamaan dan ketimuran. Sedangkan pelbagai negara giat mempromosikan identiti bangsa dan agama dalam menarik minat para pelancong dari luar.
Ketandusan idea ini sangat kritikal bagi membawa aspirasi madani dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Bahkan di negara majoriti umat Islam, ia boleh mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat jika tidak diperhalusi program yang dilaksanakan. Ibaratnya, rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Ini disebabkan penganjuran festival muzik tersebut dilakukan secara terbuka oleh pihak berwajib dan ia tidak selaras dengan budaya masyarakat setempat di samping bertentangan dengan dasar jimat cermat yang dilaungkan.
Fenomena ini turut mencetuskan polemik apabila dikaitkan dengan budaya hedonisme. Hedonisme merujuk kepada gaya hidup atau pegangan yang meletakkan keseronokan sebagai matlamat utama kehidupan. Suasana muzik yang kuat boleh mendorong seseorang menjadi lalai daripada mengingati Allah jika tidak dikawal dengan baik.
Dari sudut pemakaian pula, festival sebegini menimbulkan isu apabila keadaan basah akibat semburan air boleh menyebabkan aurat tidak terpelihara dengan sempurna. Begitu juga dengan percampuran antara lelaki dan perempuan, yang jika tidak dijaga batasnya, berpotensi membawa kepada situasi yang kurang sesuai dengan adab seorang Muslim, khususnya dalam memelihara kehormatan diri.
Selain itu, meskipun terdapat etika dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak penganjur, timbul persoalan sejauh mana ia dapat dipatuhi secara menyeluruh. Ibarat seseorang menjaga rumah daripada pencuri dengan menyediakan pelbagai sistem keselamatan, namun dalam masa yang sama membiarkan pintu pagar dan tingkap terbuka, risiko tetap wujud. Begitu juga dalam konteks penganjuran festival ini, di mana suasana yang ada mungkin menyukarkan pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan.
Tambahan lagi, festival ini dilihat tidak selari dengan nilai akhlak dan moral masyarakat Malaysia yang terkenal dengan ketinggian adab dan tatasusila. Malaysia kaya dengan adat, tradisi dan kepelbagaian kaum. Gabungan tradisi masyarakat berteraskan agama terzahir melalui akhlak mulia, nilai moral yang kukuh dan etika bersepadu dalam diri. Gabungan ini membentuk masyarakat yang berpegang kepada nilai moral yang kukuh, saling hormat-menghormati dan hidup dalam suasana harmoni.
Tegasnya, Islam merupakan satu cara hidup. Meletakkan agama di hadapan menjadi keutamaan kerana kita hidup bertuhan, iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Islam tidak melarang hiburan, malah meraikan fitrah manusia yang memerlukan hiburan sebagai terapi jiwa. Walau bagaimanapun, terdapat batas yang perlu dijaga dan dipatuhi agar hiburan tersebut tidak melampaui garis panduan syariat dan nilai moral.
Sehubungan itu, masyarakat Muslim disarankan untuk lebih berhati-hati dalam menilai dan memilih bentuk hiburan yang disertai. Dalam kaedah fiqh ada menyebut bahawa “kerelaan terhadap sesuatu kemaksiatan juga dianggap sebagai maksiat”. Oleh itu, sikap berhati-hati dan pertimbangan yang bijak amat penting. Sejurus itu, umat Islam juga dinasihatkan tidak mengikut trend yang sebahagiannya jelas bercanggah dengan syariat sehingga menggadaikan prinsip sebagai seorang Muslim.
Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 120 yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
Maka adalah wajar pihak berkuasa terus memperhalusi garis panduan hiburan agar selari dengan nilai agama dan budaya tempatan. Usaha ini penting bagi memastikan hiburan yang dianjurkan dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak mulia dan seimbang selari dengan dasar madani. Ia juga penting agar keuntungan yang diperolehi bukan setakat bersifat duniawi, bahkan ganjaran ukhrawi juga.
Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Sesi 2025/2026.
