2 Mei 2026 TENOM: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick meninjau laluan keretapi dari Beaufort ke Tenom bagi melihat sendiri keadaan perkhidmatan serta tahap penyelenggaraan laluan berkenaan.
Beliau berkata, perkhidmatan keretapi masih menjadi mod pengangkutan utama penduduk di sepanjang laluan Beaufort–Tenom, khususnya bagi tujuan bekerja dan bersekolah.
“Perkhidmatan keretapi merupakan mod pengangkutan pilihan penduduk di sepanjang laluan ini terutama pada waktu bekerja dan bersekolah.
“Saya berpuas hati dengan usaha dan inisiatif berterusan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam memastikan keselamatan serta kelangsungan perkhidmatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menamatkan tinjauan di sini, semalam.
Ewon turut menghargai tindakan segera pihak jabatan dalam menangani kerosakan seperti runtuhan tanah dan tebing di sepanjang laluan.
“Saya hargai semua inisiatif Jabatan Keretapi Negeri Sabah bagi penambahbaikan aset, penyelenggaraan laluan dan memastikan perkhidmatan berterusan kepada para pengguna,” katanya.
Di Stesen keretapi Rayoh, Ewon dan rombongan diberikan taklimat ringkas mengenai permohonan rizab tanah kampung yang dipanjangkan oleh wakil rakyat Melalap dan Kemabong.
“Saya juga diberi taklimat di Stesen Pangi mengenai insiden yang berlaku awal tahun ini dan inisiatif-inisiatif penyelenggaraan laluan serta perolehan aset baharu bagi memastikan perkhidmatan dapat terus ditambah baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ewon berkata kementeriannya akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah yang merangkumi pengangkutan darat termasuk keretapi, selain pengangkutan udara dan laut.
“Hasil dapatan kajian akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dikongsikan kepada rakyat Sabah, dan sudah tentu perkhidmatan keretapi akan menjadi antara komponen penting dalam pelan induk berkenaan,” katanya.
Keretapi dari Stesen Beaufort bertolak kira-kira jam 2.07 petang sebelum tiba di Stesen Tenom pada jam 5.00 petang, dengan beberapa hentian termasuk di Stesen Saliwangan, Halogilat, Rayoh dan Pangi.
Turut serta dalam tinjauan itu Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone Kurum, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, pegawai-pegawai JKNS dan agensi di bawah MINDET.
