KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 – Polis Daerah Dang Wangi menahan seramai 25 individu, termasuk seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Filipina, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ‘ulat foto’ atau jurugambar haram di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Sidang media yang diadakan hari ini diketuai oleh YDH ACP Sazalee bin Hj. Adam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, bersama YDH Supt Nuzulan bin Mohd Din, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan barisan kepimpinan polis daerah tersebut.
Menurut ACP Sazalee, operasi khas itu dilaksanakan pada Isnin lalu dan melibatkan 23 lelaki serta seorang wanita tempatan, selain seorang lelaki warga Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun. Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati cap jari pemegang tidak sepadan dengan kad pengenalan yang digunakan, menimbulkan syak wasangka terhadap ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek.
Kegiatan ‘ulat foto’ ini sering dikaitkan dengan jurugambar jalanan tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan mengambil gambar kepada pelancong di kawasan tumpuan seperti KLCC, kadangkala melibatkan elemen paksaan atau aktiviti tidak sihat.
ACP Sazalee menegaskan pihak polis akan meneruskan operasi dan pemantauan berterusan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan, termasuk operasi ‘ulat foto’, kepada pihak polis untuk tindakan segera.
Penahanan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kawasan KLCC kekal selamat dan selesa untuk pelancong serta pengunjung, selaras dengan kempen #kearahKLsejahtera dan #keepKLsafe.
Siasatan masih berjalan dan kesemua suspek kini berada dalam tahanan polis.
