PUCHONG, 14 Okt — Malaysia Esports League 2026 (MEL26) terus memperkukuh pembangunan bakat e-sukan akar umbi negara dengan menghimpunkan 12,847 peserta menerusi pertandingan melibatkan tiga judul permainan utama serta pengenalan kategori khas wanita.

Dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI), inisiatif di bawah Impact Integrated, MEL26 dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta sokongan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).
Tiga permainan yang dipertandingkan ialah PUBG Mobile, eFootball Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), sekali gus membuka peluang kepada pemain amatur dan separa profesional untuk mengasah kemahiran serta mendapatkan pendedahan dalam pertandingan kompetitif.


Bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam industri e-sukan, MEL26 turut memperkenalkan kategori khas wanita bagi PUBG Mobile dan MLBB menerusi format kelayakan terbuka, dengan 16 pasukan atau pemain terbaik dipilih untuk beraksi di peringkat Grand Finals.
Antara juara yang muncul ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya menerusi kategori eFootball Mobile, Johor bagi PUBG Mobile, The Gringos Seraphic bagi PUBG Mobile wanita, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi MLBB dan Vamos Ladies bagi MLBB wanita.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah MEL26 berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong, pada 4 dan 11 Oktober lepas, dengan kehadiran rakan strategik serta wakil penerbit permainan yang dipertandingkan.
Penganjuran MEL26 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan rakan strategik dalam memperluas akses kepada e-sukan, mengenal pasti bakat baharu serta menyediakan laluan pembangunan lebih tersusun ke arah industri e-sukan Malaysia yang profesional dan mampan.
