KUALA LUMPUR, 25 Sept – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima kos pengubahsuaian sebuah rumah bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lalu.
Adi Azuan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima untuk dirinya benda berharga berupa kos pengubahsuaian rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.
Pertuduhan menyatakan tertuduh mengetahui pemberian berkenaan mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah berkenaan pada 7 Mac 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras, memaklumkan mahkamah bahawa Adi Azuan sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam mengikut seksyen sama.
Menurutnya, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah berkenaan turut menetapkan 25 Nov untuk sebutan kes.
Irna Julieza kemudian memohon supaya pertuduhan di Kuala Lumpur dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kerana kedua-dua kes membabitkan saksi dan kertas siasatan yang sama.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi Azuan tidak membantah permohonan berkenaan dan memohon mahkamah menggunakan wang jaminan serta syarat jaminan yang telah ditetapkan di Shah Alam.
Hakim Suzana membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Mahkamah turut membenarkan wang jaminan serta syarat jaminan yang ditetapkan sebelum ini diguna pakai bagi pertuduhan berkenaan.
