KUALA LUMPUR, 24 Sept – SUARAM menggesa Jabatan Penjara Malaysia menerima kritikan dan memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan aspek keselamatan, integriti serta akauntabiliti dalam institusi penjara terus diberi perhatian.
Gesaan itu susulan penafian Jabatan Penjara terhadap dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mengenai kewujudan hierarki dalam kalangan banduan serta pengaruh wang dan akses kepada dadah dalam penjara. Jabatan Penjara sebelum ini menegaskan pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani salah laku dan perkara negatif dalam kalangan penghuni penjara.
Dalam kenyataan hari ini, SUARAM berkata penarikan semula kenyataan Yasin tidak seharusnya menutup persoalan lebih luas berkaitan keselamatan dan kebajikan individu yang berada di bawah jagaan negara.
Menurutnya, kejayaan bekas banduan membina kehidupan baharu serta usaha pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara sememangnya perlu diiktiraf, namun perkara itu tidak seharusnya mengetepikan keperluan memastikan keselamatan banduan.
SUARAM turut mempersoalkan pendekatan yang melihat isu penjara dari sudut positif atau negatif semata-mata, sebaliknya menegaskan tumpuan perlu diberikan kepada tahap perlindungan individu daripada keganasan, layanan buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Badan itu berkata kewujudan SOP juga tidak semestinya membuktikan semua prosedur dilaksanakan dengan berkesan dan menekankan kepentingan pemantauan serta mekanisme akauntabiliti.
Pandangan itu turut dikaitkan dengan keputusan Inkuiri Awam SUHAKAM mengenai insiden di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.
Dalam keputusan yang diumumkan Mei lalu, panel inkuiri mengesahkan berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan, termasuk penggunaan kekerasan fizikal secara berlebihan, penyalahgunaan peralatan keselamatan, kecuaian dalam pemberian rawatan perubatan serta layanan yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.
Panel turut mengemukakan beberapa syor termasuk tindakan tatatertib terhadap pengurusan dan kakitangan Penjara Taiping, siasatan berasingan oleh PDRM, latihan berkala kepada kakitangan serta penambahbaikan kemudahan perubatan di institusi penjara.
SUARAM berkata kerajaan juga perlu memastikan komitmen terhadap reformasi penjara selaras dengan United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners atau Nelson Mandela Rules dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, pemeriksaan dalaman dan luaran perlu dilakukan secara berkala, termasuk oleh badan bebas yang mempunyai akses kepada maklumat serta banduan bagi memastikan sebarang pelanggaran dapat dikenal pasti.
SUARAM turut menggesa setiap penemuan berkaitan pelanggaran disusuli siasatan dan tindakan yang telus.
“Dalam institusi tertutup seperti penjara, pemantauan bebas bukanlah usaha mencari perkara negatif. Ia adalah perlindungan yang diperlukan untuk memastikan kuasa negara tidak terlepas daripada semak dan imbang, dan keselamatan setiap individu di bawah jagaannya terjamin,” menurut kenyataan itu.
