Oleh Dr. Norfaizal Jamain
Setiap kali bulan kemerdekaan tiba, lagu-lagu patriotik kembali berkumandang di sekolah, universiti, pejabat kerajaan, pusat beli-belah dan pelbagai platform media sosial. Lagu seperti *Tanggal 31, Keranamu Malaysia, Setia, Warisan dan Sejahtera Malaysia* bukan sekadar menjadi muzik latar sambutan, malah berperanan sebagai wahana penting dalam membentuk jiwa kebangsaan serta menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu dan negara.
Kekuatan utama lagu merdeka terletak pada liriknya yang mudah difahami, diingati dan dinyanyikan oleh masyarakat pelbagai peringkat usia. Pemilihan kata yang ringkas tetapi sarat dengan makna menjadikan mesej tentang kebebasan, pengorbanan, perpaduan dan tanggungjawab terhadap negara lebih dekat dengan pendengar. Melalui pengulangan lirik dan melodi yang bersemangat, nilai patriotik dapat meresap secara semula jadi ke dalam pemikiran masyarakat.
Bahasa Melayu yang digunakan dalam lagu patriotik turut memperlihatkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan. Dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya, bahasa Melayu menyediakan ruang komunikasi bersama yang membolehkan mesej kenegaraan disampaikan kepada seluruh rakyat. Apabila lagu merdeka dinyanyikan secara serentak, bahasa bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi menjadi lambang identiti, kebersamaan dan rasa memiliki terhadap negara.
Lirik lagu patriotik lazimnya membawa pendengar menelusuri sejarah perjuangan negara. Ada lagu yang mengingatkan masyarakat tentang tarikh kemerdekaan, ada yang mengenang jasa pejuang terdahulu, manakala sebahagian lagi menyeru rakyat mempertahankan keamanan dan kemajuan yang telah dicapai. Mesej sedemikian penting kerana generasi muda hari ini tidak mengalami sendiri zaman penjajahan atau kesukaran membina negara selepas kemerdekaan.
Melalui lagu, sejarah dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih dekat dengan emosi. Fakta tentang perjuangan kemerdekaan mungkin dipelajari melalui buku teks, tetapi lirik dan melodi mampu membangkitkan rasa bangga, terharu dan bersyukur. Hubungan antara pengetahuan dengan perasaan inilah yang menjadikan lagu patriotik berkesan dalam pendidikan kenegaraan. Patriotisme tidak memadai jika hanya diketahui secara fakta, sebaliknya perlu dirasai, difahami dan diterjemahkan melalui tindakan.
Namun demikian, semangat patriotik yang dibawa oleh lagu merdeka tidak seharusnya terbatas pada sambutan sepanjang Ogos dan September sempena sambutan Hari Malaysia. Mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu patriotik hanya menjadi simbol luaran jika tidak disertai tanggungjawab sebagai warganegara. Nilai dalam lirik perlu diterjemahkan melalui sikap menghormati Perlembagaan, memelihara keharmonian, menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik, menolak rasuah serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Dalam konteks bahasa, kecintaan terhadap bahasa Melayu juga tidak bermaksud menolak penguasaan bahasa lain. Rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa antarabangsa dan bagi meningkatkan daya saing. Namun, usaha tersebut tidak boleh menyebabkan bahasa kebangsaan dipinggirkan, khususnya dalam urusan rasmi, pendidikan, penyampaian ilmu dan komunikasi awam. Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan sebagai bahasa yang mampu membicarakan ilmu, teknologi, ekonomi dan isu semasa.
Perkembangan media digital pula membuka ruang baharu untuk lagu patriotik diperkenalkan kepada generasi muda. Susunan muzik moden, video pendek, animasi, persembahan kreatif dan kandungan interaktif boleh menjadikan lagu merdeka lebih menarik. Walau bagaimanapun, pembaharuan tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menghilangkan nilai sejarah dan makna asal lagu. Lagu patriotik tidak sepatutnya dijadikan kandungan hiburan semata-mata tanpa pemahaman terhadap mesej yang terkandung di dalamnya.
Institusi pendidikan boleh memainkan peranan lebih besar dengan menjadikan lagu patriotik sebagai bahan pengajaran bahasa dan kenegaraan. Pelajar bukan sekadar diminta menyanyi, tetapi boleh dibimbing untuk menganalisis pemilihan kata, gaya bahasa, simbol, nilai dan konteks sejarah dalam lirik. Aktiviti seperti penulisan refleksi, deklamasi kreatif, perbandingan lagu mengikut zaman dan penghasilan lirik baharu dapat meningkatkan kemahiran berbahasa sambil memperkukuh pemahaman tentang kemerdekaan.
Hakikatnya, lagu merdeka mempunyai kuasa untuk menyatukan rakyat kerana bahasa dan muzik mampu merentasi perbezaan. Ketika dinyanyikan bersama, masyarakat diingatkan bahawa kemerdekaan merupakan hasil perjuangan bersama yang perlu dipelihara oleh setiap generasi. Liriknya menghubungkan sejarah dengan masa kini, manakala melodinya menghidupkan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air.
Oleh itu, lagu patriotik perlu terus dihargai sebagai warisan budaya dan instrumen pembinaan negara. Selagi liriknya difahami dan nilainya diamalkan, lagu merdeka akan terus menjadi suara yang menyatukan bahasa, membangkitkan jiwa serta mengukuhkan patriotisme rakyat Malaysia.
Penulis ialah Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.
