Oleh Dr. Noor Mastura Mohd Mujar
Dalam era moden yang serba pantas, pelajar sekolah semakin terdedah kepada pelbagai tekanan yang kompleks, merangkumi tuntutan akademik, cabaran sosial, serta ketidakstabilan emosi. Isu kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan, dan keletihan emosi bukan lagi fenomena terpencil, malah semakin meningkat dalam kalangan remaja.
Seiring dengan perkembangan ini, pendekatan intervensi yang bersifat holistik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada ubatan semakin mendapat perhatian. Dalam bidang kesihatan, pendekatan berasaskan seni telah dikenal pasti sebagai medium yang berpotensi dalam menyokong kesejahteraan mental.
Salah satu pendekatan yang masih kurang diterokai tetapi mempunyai potensi besar dalam konteks tempatan ialah seni kaligrafi.


Kaligrafi bukan sekadar seni tulisan yang indah, tetapi merupakan satu bentuk aktiviti berstruktur yang melibatkan integrasi antara kemahiran motor halus, penglibatan kognitif, dan regulasi emosi.
Dalam perspektif intervensi, proses menulis kaligrafi melibatkan koordinasi mata-tangan, fokus berterusan terhadap perincian, dan pengulangan pergerakan yang berirama. Gabungan elemen ini menjadikan kaligrafi sebagai satu bentuk aktiviti yang menyerupai amalan mindfulness, di mana individu memberi perhatian sepenuhnya kepada pengalaman semasa.
Dalam konteks kaligrafi Islam, dimensi spiritual turut memperkukuh kesan terapeutik ini. Penulisan kata-kata bermakna menyumbang kepada proses penghasilan bermakna, iaitu keupayaan individu untuk mengaitkan pengalaman diri dengan nilai, harapan dan tujuan hidup.
Mekanisme terapeutik dalam kaligrafi
Kaligrafi berfungsi sebagai intervensi sokongan melalui beberapa mekanisme utama. Pertama, dari sudut regulasi emosi dan pengurangan stres, pergerakan berulang dan ritma dalam penulisan membantu menenangkan sistem saraf, seterusnya mengurangkan tekanan dan kebimbangan. Selain itu, aktiviti ini turut meningkatkan fokus dan mindfulness kerana ia memerlukan perhatian penuh terhadap setiap goresan, sekali gus melatih keupayaan tumpuan dan kesedaran masa kini. Kaligrafi juga berperanan sebagai saluran ekspresi tidak verbal, membolehkan pelajar mengekspresikan emosi secara selamat tanpa perlu bergantung kepada komunikasi lisan, yang kadangkala menjadi cabaran. Akhir sekali, kandungan kaligrafi turut menyumbang kepada pengukuhan spiritual dan makna diri dengan memberi dimensi reflektif yang membantu individu mencari ketenangan, harapan, dan tujuan hidup.
Potensi ini telah diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Membudayakan Seni Kaligrafi Islam Dalam Kalangan Belia di bawah Dana Kajian Sosial 2025 dari Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia yang telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang. Program ini telah mendapat sokongan penuh dari pengetua dan para guru, dengan penglibatan aktif pelajar sekolah menengah sebagai peserta utama.
Program yang diterajui oleh penulis selaku ketua bagi iCalli Project dari Universiti Sains Malaysia (USM), turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (KALIMA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Guru Kaunseling iaitu Cikgu Nur Afiqah Ahmad, menyatakan bahawa sinergi antara pakar akademik, penggiat seni, dan warga pendidik dalam program ini membolehkan integrasi elemen psikologi dan spiritual dilaksanakan secara seimbang dalam aktiviti kaligrafi yang dijalankan.
Selain itu, Guru Pendidikan Islam iaitu Ustaz Muhammad Fazdli Samsu @ Shamsuddin juga berpendapat bahawa melalui sesi bengkel dan latihan praktikal, pelajar didedahkan kepada teknik asas kaligrafi sambil dibimbing untuk memahami makna ayat, menjadikan pelajar lebih menghayati dan menghargai proses yang dilalui.
Melalui penulisan kaligrafi, ianya bukan sekadar hasil akhir semata-mata, tetapi pada proses berulang yang melibatkan perhatian, kesabaran, dan keterlibatan emosi yang berpotensi sebagai terapi seni dalam menyokong kesejahteraan kesihatan mental pelajar. Pendekatan ini selari dengan prinsip intervensi psikososial yang menekankan pengalaman dan refleksi kendiri.
Bagi memastikan pelaksanaan yang praktikal, seni kaligrafi boleh diperkenalkan melalui aktiviti individu ringkas seperti sesi “Kaligrafi 10 Minit Tenang”, di mana pelajar menulis perkataan seperti “tenang”, “sabar” atau “syukur” sebelum kelas bagi membantu regulasi emosi dan fokus. Selain itu, “Kaligrafi Reflektif” boleh dilaksanakan dengan meminta pelajar menulis ayat bermakna dan membuat refleksi ringkas, sekali gus menyokong pemahaman emosi dan kendiri.
Aktiviti berkumpulan juga boleh dijalankan melalui penghasilan karya secara “Kaligrafi Kolaboratif” bagi menggalakkan interaksi sosial dan rasa kebersamaan. Di samping itu, sekolah boleh menyediakan “Sudut Kaligrafi” sebagai ruang santai untuk pelajar menjalankan aktiviti secara sukarela. Seni kaligrafi juga sesuai diintegrasikan dalam sesi kaunseling sebagai medium ekspresi emosi dan teknik menenangkan diri secara tidak verbal.
Kesimpulan
Seni kaligrafi membuktikan bahawa pendekatan yang ringkas tidak semestinya kurang berkesan. Sebaliknya, dalam kesederhanaannya, ia mampu menyentuh dimensi psikologi dan spiritual secara serentak, iaitu dua komponen penting dalam kesejahteraan holistik pelajar sekolah dalam satu aktiviti yang praktikal dan mudah diakses.
Inisiatif seperti program komuniti ini menunjukkan bahawa seni boleh dijadikan sebagai alat intervensi yang praktikal dan bermakna. Dengan sokongan berterusan daripada institusi pendidikan, komuniti, dan rakan kolaborasi strategik, seni kaligrafi berpotensi untuk diperluaskan sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.
Pada masa yang sama, usaha sedang diperluaskan oleh USM dalam penyelidikan bagi potensi kaligrafi melalui aktiviti menulis, membaca, mengingati dan memahami ayat Al-Quran, sebagai pendekatan sokongan kognitif dalam kalangan warga emas, khususnya dalam konteks pencegahan demensia.
Penyelidikan eksperimen yang lebih sistematik dan berasaskan bukti wajar diperkukuhkan bagi menilai impak sebenar kaligrafi sebagai intervensi psikososial dan spiritual dalam konteks tempatan. Oleh itu, kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, industri seni serta penggiat seni amat dialu-alukan. Usaha kolaboratif ini penting ke arah penghasilan inovasi sosial yang mampan dan berimpak tinggi dalam menyokong kesejahteraan mental dan kognitif melintasi generasi.
