IPOH, 12 Ogos 2026 (Bernama) — Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 480.60 gram pada minggu lepas.
Teoh Wai Loon, 44, dan isteri Lim Suk Pei, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa mengedar dadah MDMA dengan anggaran berat 480.60 gram di sebuah bilik di Medan Bercham Bistari dalam daerah Kinta pada 10.30 malam 4 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan tujuh individu termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.
Dalam serbuan itu, polis merampas dadah termasuk kira-kira 2.6 kilogram MDMA di dua rumah di Tapah dengan keseluruhan nilai dadah dianggarkan RM538,451 selain tiga kenderaan bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376.
— BERNAMA
