ISTANBUL – AK Gold Esports mencipta sejarah apabila menjuarai peringkat The Gauntlet PUBG Mobile Global Championship (PMGC) 2026, sekali gus menjadi pasukan Indonesia pertama yang menempah tempat ke Grand Finals edisi tahun ini.
Pasukan yang berakar umbi daripada komuniti PUBG Mobile di Manado itu menamatkan 12 permainan di Istanbul, Turkiye, Jumaat, dengan 108 mata, hasil 63 eliminasi dan 45 mata kedudukan, menurut laporan Esports ID.
AK Gold memulakan hari kedua di tempat kedua dengan 53 mata sebelum terus meraih Chicken Dinner bernilai 24 mata di peta Rondo. All Gamers dari China membalas dan masih mendahului dengan 101 mata menjelang permainan terakhir, dengan AK Gold mengekori rapat pada 99 mata.
Dalam permainan penutup di Miramar, AK Gold menambah sembilan mata manakala All Gamers hanya mengutip empat, membolehkan pasukan Indonesia itu memintas di saat akhir dan menang dengan kelebihan tiga mata.
Bagi kapten AK Gold, Satar, kejayaan itu cukup bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau menembusi Grand Finals selepas lima penampilan di PMGC.
“Saya sangat gembira dan bangga, apalagi selepas lima kali ke PMGC akhirnya boleh lolos ke grand final. Lebih-lebih lagi bersama pemain baharu dan kami baru bermain bersama selama enam bulan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Lima pasukan lain yang turut lolos terus ke Grand Finals ialah All Gamers (105 mata), 4Thrives Esports dari Pakistan (102), S2G Esports dari Turkiye (94), Sharper Esports dari Thailand (93) dan Team SouL dari India (91).
All Gamers mencatat jumlah eliminasi tertinggi dengan 73, manakala Sharper Esports memiliki Chicken Dinner terbanyak, iaitu tiga. Team SouL pula bangkit dari tempat ke-11 selepas hari pertama untuk merampas tiket terakhir. Menurut The Gaming Diary, AK Gold membawa pulang US$65,000 sebagai juara Gauntlet.
Pasukan di tempat ketujuh hingga ke-16, termasuk Nongshim RedForce dan The MongolZ, belum tersingkir sebaliknya beralih ke peringkat kumpulan.
Grand Finals PMGC 2026 dijadual berlangsung pada 11 hingga 13 Disember di Istanbul. Wakil Indonesia yang lain, Bigetron by Vitality, akan memulakan cabaran dari peringkat kumpulan.
Sumber: Esports ID, The Gaming Diary, PUBG Mobile Esports.
