Kota Kinabalu, 30 Mac 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Datuk Seri Panglima Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini menerima pengiktirafan tertinggi Negeri Sabah apabila dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu Pangkat Pertama, Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.
Pengurniaan itu disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Hj. Aman semasa Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah di Balai Istiadat, Istana Seri Kinabalu.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”. Istiadat tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Berangkat sama ke istiadat berkenaan ialah Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hjh. Faridah Hj. Tussin.
Dalam istiadat yang sama, TYT turut mengurniakan Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu Pangkat Kedua, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K.) kepada 32 penerima, antaranya Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim dan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, SAC Datuk Nor Omar Sappi yang membawa gelaran “Datuk”.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun pula antara enam penerima yang dilantik sebagai Jaksa Pendamai (Justice of the Peace).
Sepanjang istiadat, seramai 16 orang dikurniakan *Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K.), 13 penerima **Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.), lapan orang *Bintang Setia Kinabalu (B.S.K.) termasuk lima Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, selain lapan penerima Bintang Kinabalu (B.K.) dan dua penerima Perkhidmatan Terpuji.
Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim Hj. M. Yahya, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Seri Panglima Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah, serta barisan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, serta Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Hjh. Azizah Hj. Nawawi.
Pada sebelah malamnya, KPN bersama isteri menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah bersempena sambutan yang sama. Majlis itu menampilkan keunikan nilai tradisi dan identiti tersendiri Negeri Sabah di bawah bayu itu.
Pengurniaan ini merupakan pengiktirafan atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh penerima-penerima, khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara serta negeri.
