PUTRAJAYA 26 Max 2026 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan beberapa langkah penting bagi menangani lonjakan subsidi bahan api yang mencecah RM4 bilion sebulan akibat krisis tenaga global disebabkan konflik di Asia Barat.
Menurut Anwar subsidi bahan api telah meningkat daripada RM3.2 bilion dua minggu lalu kepada hampir RM4 bilion sebulan susulan situasi yang semakin meruncing di rantau tersebut.
“Kerajaan MADANI telah bertindak awal untuk memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat. Namun, kita berdepan cabaran besar dan perlu mengimbangi antara kemampanan fiskal dengan keperluan memastikan bekalan tenaga terus dapat dinikmati rakyat,” katanya.
Antara langkah sementara yang diumumkan bermula 1 April 2026:
- Harga RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter dengan had pengisian 200 liter sebulan bagi kenderaan persendirian.
- Hampir 90% rakyat Malaysia tidak terkesan kerana purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan.
- Had subsidi 800 liter sebulan dikekalkan bagi pemandu e-hailing dan motosikal.
- Had pengisian diesel dikuatkuasakan secara sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan:
- 50 liter setiap pembelian (kenderaan ringan persendirian, awam & barangan)
- 100 liter setiap pembelian (kenderaan pengangkutan darat awam & barangan bawah 3 tan)
- 150 liter setiap pembelian (kenderaan berat melebihi 3 tan)
- Harga diesel bersubsidi kekal RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.
- Penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengekang ketirisan subsidi dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di seluruh negara.
Kerajaan juga memperkenalkan Inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR):
- Sektor awam akan melaksanakan BDR secara berperingkat dan terpilih (perincian akan dimaklumkan tidak lama lagi).
- Sektor swasta digesa menyokong seruan kerajaan melaksanakan BDR bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Anwar menegaskan langkah-langkah ini adalah sementara dan akan diteliti semula mengikut perkembangan semasa. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang cakna dan terus melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak bagi melindungi subsidi daripada diselewengkan.
“Displin dan kebersamaan kita menjadi kekuatan utama. Saya memohon kerjasama semua untuk terus berhemah dan memahami langkah yang diambil demi memastikan bekalan kekal terjamin untuk semua,” katanya.
Kenyataan penuh disertai empat infografik rasmi yang menerangkan langkah-langkah tersebut boleh dirujuk menerusi akaun rasmi Perdana Menteri.
