SUBANG, 3 Okt (Bernama) — Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan khas bersempena Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), yang berlangsung dari 2 hingga 4 Okt.
Pesawat khas yang membawa baginda bersama delegasi Brunei, termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah, mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 4.28 petang.
Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Wan Amirul Syafiq Wan Zamri.
SIC dipilih sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 selepas Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah perlumbaan berkenaan pada 2 hingga 4 Okt.
Persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain membolehkan perlumbaan Bahrain dikekalkan dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan asal di Bahrain dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan tidak lagi disenaraikan dalam kalendar F1.
Kepulangan F1 ke Sepang bagi perlumbaan Bahrain itu turut menyaksikan Malaysia kembali menjadi tuan rumah kejohanan berprestij berkenaan selepas sembilan tahun.
Penganjuran perlumbaan di Sepang turut dikaitkan dengan usaha diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa dalam menjayakan persetujuan berkenaan.
