KUALA LUMPUR 11, Ogos 2026 – Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, semalam menegaskan bahawa polemik fitnah dan tuduh-menuduh yang berpanjangan tidak seharusnya menenggelamkan perkara yang lebih utama iaitu memastikan Tabung Haji dipulihkan dan terus kukuh serta amanah jutaan pendeposit sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang meneliti isu pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Menurut Armizan, jumlah pendeposit Tabung Haji kini telah mencecah 9.7 juta orang di seluruh negara, termasuk 597,983 pendeposit di Sabah.
“Dapatan RCI perlu menjadi asas kepada tindakan seterusnya. Sebarang siasatan susulan oleh agensi penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional, berlandaskan fakta serta undang-undang supaya keadilan dapat ditegakkan kepada semua pihak,” katanya.
Pada masa yang sama, syor-syor penambahbaikan perlu diteliti bagi memperkukuh hala tuju dan tadbir urus Tabung Haji.
Dalam perbahasan itu, Armizan turut membangkitkan beberapa perkara untuk mendapatkan penjelasan rinci, antaranya keberkesanan proses pemulihan Tabung Haji, implikasi krisis keyakinan rakyat dan implikasi kewangan kepada Kerajaan, keperluan kajian forensik terhadap 14 pelaburan terdahulu yang disifatkan mencurigakan serta isu berkaitan integriti proses audit Tabung Haji terdahulu melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
“Apa yang paling penting, segala dapatan dan syor RCI ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang dapat memperkukuh tatakelola, integriti dan akauntabiliti Tabung Haji, sekali gus memastikan institusi ini terus kukuh dan diyakini dalam melaksanakan amanah kepada umat Islam,” ujarnya.
Armizan juga merakamkan penghargaan kepada barisan Lembaga Pengarah, pengurusan dan seluruh warga Tabung Haji atas pelbagai inisiatif pemulihan yang telah dilaksanakan sehingga institusi penting ini kembali kepada status yang sihat.
Beliau berharap segala ikhtiar untuk memelihara amanah umat ini terus dipermudah dan mendapat keberkatan Allah SWT.
