KUALA LUMPUR, 17 April 2026 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali hari ini merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh barisan penguat kuasa KPDN yang dikatakannya sebagai ‘wira yang tidak selalu terlihat, tetapi sentiasa terasa keberadaannya’.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54, Armizan menekankan sumbangan besar petugas penguat kuasa yang bekerja tanpa mengenal penat lelah di lapangan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal stabil dan terkawal, bekalan barang mencukupi serta barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasaran tanpa sebarang kebocoran.
“Tidak semua wira berada di hadapan lensa, namun jasa mereka dirasai setiap hari. Di saat rakyat menikmati harga barangan keperluan yang stabil dan terkawal, bekalan yang terjamin dan barangan subsidi yang tidak tiris dan sampai kepada golongan sasar, di situlah peranan besar barisan penguat kuasa KPDN,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan dedikasi penguat kuasa yang sentiasa berada di lapangan untuk memeriksa, memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan, sekali gus melindungi hak rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN atas keteguhan, keberanian dan integriti dalam memikul amanah ini. Teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” ujar Armizan.
Beliau turut mengakhiri kenyataan dengan slogan rasmi sambutan tahun ini – “Komited Mendepani Cabaran” – sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 kepada seluruh anggota penguat kuasa KPDN.
Hari Penguat Kuasa KPDN disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan petugas yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dari segi kawalan harga, bekalan dan integriti pasaran dalam negara.
