KUALA LUMPUR, 25 Nov — Saingan peringkat kumpulan dan penentuan kejohanan Dota 2 BLAST SLAM IX melabuhkan tirai awal pagi tadi waktu Malaysia, dengan enam pasukan mengesahkan tempat ke pusingan Playoff bagi merebut jumlah hadiah keseluruhan AS$750,000.
Menurut laporan GosuGamers dan Dot Esports, juara bertahan Team Yandex serta pilihan utama PARIVISION menempah slot terus ke separuh akhir upper bracket selepas memenangi perlawanan penentuan kedudukan (Seeding Matches) malam tadi.
Team Yandex, yang memburu kejuaraan BLAST SLAM ketiga berturut-turut, bangkit daripada kekalahan pada permainan pembukaan untuk menewaskan juara Kumpulan D, 1w Team 2-1. Dalam satu lagi aksi penentuan, PARIVISION mudah menundukkan GamerLegion 2-0 untuk mengiringi Team Yandex ke separuh akhir.
Aurora Gaming dan Team Liquid selamat di peringkat Last Chance
Sementara itu, dua slot terakhir Playoff diisi oleh Aurora Gaming dan Team Liquid selepas kedua-duanya mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi hidup mati peringkat Last Chance awal pagi Rabu waktu Malaysia, menurut BLAST Dota dan GosuGamers.
- Team Liquid 2-1 Xtreme Gaming: Liquid mendahului permainan pertama sebelum Xtreme Gaming (XG) bangkit mencatat kemenangan dramatik dalam tempoh 63 minit pada permainan kedua. Bagaimanapun, Liquid kembali menguasai permainan penentuan dan menutup siri dalam masa kurang 30 minit.
- Aurora Gaming 2-1 OG: Aurora yang dibarisi pemain offlane Malaysia, Chung “Ws” Wei Shen bersama skiter, Mikoto, Mira dan kaori saling berbalas kemenangan mudah dengan OG pada dua permainan awal, sebelum Aurora menyingkirkan OG dalam tempoh 37 minit pada permainan ketiga.
Kekalahan itu menyaksikan OG dan Xtreme Gaming tersingkir di kedudukan ketujuh hingga kelapan dengan hadiah AS$20,000 setiap pasukan, menyusuli beberapa nama besar lain termasuk Team Spirit, Natus Vincere dan LGD Gaming yang terkandas di peringkat kumpulan, menurut Dot Esports.
Jadual Playoff bermula Khamis
BLAST SLAM IX berehat sehari hari ini sebelum Playoff berformat penyingkiran berganda (double-elimination) bersambung pada Khamis, 26 November. Semua perlawanan Playoff dijalankan dalam format best-of-three kecuali aksi Grand Final pada 29 November yang menggunakan format best-of-five, dengan juara bakal membawa pulang AS$270,000.
Menurut jadual rasmi yang dikongsikan BLAST Dota dan Dot Esports, suku akhir upper bracket pada Khamis menyaksikan GamerLegion bertemu Aurora Gaming pada jam 6.00 petang waktu Malaysia, diikuti pertemuan 1w Team menentang Team Liquid pada jam 9.30 malam.
Pemenang antara GamerLegion dan Aurora akan berdepan Team Yandex di separuh akhir pada Jumaat jam 1.00 pagi waktu Malaysia, manakala PARIVISION menanti pemenang 1w Team atau Team Liquid pada jam 6.00 petang hari yang sama.
Sumber: BLAST Dota di X (Senarai 6 Pasukan Playoff); BLAST Dota di X (Carta Playoff); GosuGamers; Dot Esports
