KUALA LUMPUR, 23 Nov — Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah merampas semula mahkota Terbuka Hong Kong selepas menundukkan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi 22-20, 21-16 dalam tempoh 40 minit di Kai Tak Arena pada Ahad.
Kemenangan itu turut melengkapkan kejayaan berganda Malaysia di kejohanan Super 500 tersebut, selepas beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun terlebih dahulu menjulang gelaran beregu lelaki hari yang sama, lapor Bernama.
Menurut The Star, juara 2024 itu sempat ketinggalan 19-20 dalam set pertama, malah raket Pearly patah, namun mereka bangkit memenangi tiga mata berturut-turut untuk menutup set tersebut. Set kedua kekal sengit sehingga kedudukan 14-14 sebelum pasangan beregu wanita nombor empat dunia itu memecut meninggalkan lawan.
Kejayaan itu juga satu pembalasan dendam terhadap pasangan nombor 11 dunia tersebut, yang menewaskan mereka dalam final kejohanan di Taipei pada Ogos lalu. Ia gelaran ketiga Pearly-Thinaah tahun ini selepas Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark bulan lalu, dan yang kedua dalam tempoh lima minggu.
Bernama melaporkan pasangan itu membawa pulang hadiah wang AS$39,500 (RM162,500), manakala Nakade-Takahashi menerima AS$19,000 (RM78,200) sebagai naib juara.
Gelaran di Hong Kong, yang dimenangi tanpa kehilangan sebarang set, hadir pada masa yang tepat selepas mereka tersingkir awal di pusingan pertama Masters Jepun minggu sebelumnya.
“Ia pastinya suntikan keyakinan untuk Final Jelajah Dunia,” kata Thinaah seperti dipetik The Star. Menurutnya, perbincangan dari hati ke hati membantu mereka bangkit, selain komunikasi yang banyak antara mereka sepanjang minggu tersebut.
Cabaran lebih getir menanti di Final Jelajah Dunia di Hangzhou, China pada 9 hingga 13 Disember, dengan antara pesaing yang sudah layak termasuk Liu Shengshu-Tan Ning (China), juara dunia Baek Ha-na-Lee So-hee (Korea Selatan) dan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto (Jepun). Fukushima-Matsumoto merupakan pasangan yang menamatkan larian bersejarah Pearly-Thinaah ke separuh akhir edisi tahun lalu.
“Kami mahu pulang dan fokus untuk dua minggu akan datang. Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki,” tambah Thinaah.
Sumber: The Star (22 Nov); The Star (23 Nov); Bernama
