Filem terbitan Red Communications dan Komet Productions mendominasi FFM35
dengan kemenangan Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik serta pengiktirafan dalam pelbagai kategori utama
KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2026 – Filem seram dramatik Khadam mencatat kejayaan luar biasa apabila mendominasi Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) dengan meraih 10 anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, pada malam kemuncak yang berlangsung di Istana Budaya, malam tadi.
Daripada 12 pencalonan yang diterima, filem terbitan Red Communications dan Komet Productions itu membawa pulang sembilan anugerah dalam kategori pertandingan serta satu Anugerah Khas Juri yang diberikan kepada pelakon utamanya,
Aghniny Haque, atas persembahan cemerlang sebagai Melor. Kejayaan tersebut menjadikan Khadam filem paling banyak meraih anugerah pada FFM35, sekali gus mencatat pencapaian yang cukup istimewa buat kedua-dua syarikat penerbitan.
Bagi Penerbit Eksekutif dari Red Communications, Lina Tan, kejayaan ini merupakan penghargaan bermakna terhadap komitmen seluruh pasukan produksi yang sejak awal memberikan perhatian kepada setiap aspek pembikinan Khadam.
“Khadam merupakan sebuah produksi yang sangat dekat di hati kami. Kami memberikan perhatian yang begitu teliti kepada setiap perincian, daripada rekaan set dan kostum yang menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu era 1950-an, sinematografi, pencahayaan, rekaan bunyi hinggalah pasca produksi. Semuanya dilakukan dengan satu matlamat, untuk menghasilkan sebuah pengalaman sinematik yang benar-benar membawa penonton masuk ke dalam dunia Melor,” jelas Lina.
“Melihat hasil kerja pasukan kami menerima pengiktirafan dalam begitu banyak kategori, termasuk aspek teknikal, lakonan dan penceritaan, merupakan satu penghormatan yang sangat besar. Saya amat bangga dengan seluruh pasukan Khadam. Kejayaan ini membuktikan kemampuan tenaga kreatif tempatan untuk menghasilkan karya dengan nilai produksi yang tinggi dan identiti yang tersendiri,” tambahnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif dari Komet Productions, Datuk Ahmad Izham Omar, menyifatkan kejayaan Khadam meraih 10 anugerah sebagai detik yang cukup istimewa, sekali gus mencatat pencapaian membanggakan buat produksi sulung syarikat itu.
“Kami masih sukar percaya dengan apa yang berlaku malam tadi. Menerima 12 pencalonan sahaja sudah menjadi satu kemenangan besar buat kami. Apabila diumumkan sebagai penerima 10 anugerah, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, perasaan kami benar-benar sukar digambarkan. Ditambah pula dengan Anugerah Khas Juri buat Aghniny Haque atas
persembahannya sebagai Melor, ia menjadikan malam tersebut lebih bermakna,” jelas beliau.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada FINAS, penganjur FFM35, barisan juri serta semua yang telah menyokong perjalanan kecil kami sejak awal. Ini termasuk rakan penerbit dari dalam dan luar negeri yang telah memberi kepercayaan kepada kami dari awal lagi – Magma Entertainment dan VMS dari Indonesia, Sil-Metropole dari Hong Kong, Applause Entertainment dari India, GSC dan Media Prima dari Malaysia sebagai rakan pemasaran, dan juga semua penaja-penaja dan individu-individu yang sentiasa memberikan kata-kata semangat serta sokongan yang tidak putus. Pengiktirafan ini amat besar ertinya buat kami dan akan menjadi kenangan yang kami hargai sampai bila-bila,” katanya lagi.
Antara detik paling membanggakan ialah kemenangan Shamyl Othman sebagai Pengarah Terbaik, sekali gus mengiktiraf pendekatan pengarahannya yang menggabungkan elemen seram dengan konflik emosi, trauma generasi dan pengorbanan seorang ibu.
“Alhamdulillah, saya benar-benar terharu dengan pengiktirafan ini. Khadam lahir daripada kepercayaan begitu ramai individu yang memberikan sepenuh komitmen kepada sebuah cerita yang sangat dekat dengan budaya kita. Saya amat berterima kasih kepada penerbit yang mempercayai visi saya, Fariza Azlina Isahak yang menghasilkan naskhah ini, para pelakon yang menghidupkan setiap watak serta seluruh kru yang bekerja keras untuk merealisasikannya,” terang Shamyl.
“Bagi saya, ketakutan paling besar dalam Khadam bukan datang daripada saka semata-mata, tetapi daripada kemungkinan kehilangan orang yang kita sayang dan diri kita sendiri. Saya bersyukur kerana kisah Melor berjaya menyentuh hati penonton. Anugerah ini saya kongsikan dengan seluruh keluarga Khadam,” ujar Shamyl.
10 ANUGERAH FFM35 MILIK KHADAM
Kejayaan Khadam merangkumi pengiktirafan terhadap kekuatan penceritaan, pengarahan, persembahan lakonan serta kecemerlangan teknikal produksi.
| Kategori | Penerima |
| Filem Terbaik | Khadam |
| Pengarah Terbaik | Shamyl Othman |
| Lakon Layar Terbaik | Fariza Azlina Isahak |
| Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Zarra Zhaff |
| Sinematografi Terbaik | Haris Hue |
| Penataan Bunyi Terbaik | Soo Yuen Yiet |
| Skor Muzik Asal Terbaik | Rendra Zawawi |
| Lagu Tema Terbaik | “Tak Berlagu”, Rendra Zawawi & NJWA, Ernie Zakri |
| Tatarias/Solekan Terbaik | Jessie Yeow |
| Anugerah Khas Juri | Aghniny Haque |
Selain kemenangan tersebut, Khadam turut menerima pencalonan bagi kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Karl’ El dan Poster Terbaik, menjadikan keseluruhan 12 pencalonan dalam kategori pertandingan.
Pengiktirafan terhadap lagu tema “Tak Berlagu”, hasil ciptaan NJWA dan Rendra Zawawi, serta kemenangan dalam kategori sinematografi, penataan bunyi, skor muzik dan solekan turut memperlihatkan kekuatan kerjasama kreatif yang menjadi tunjang pembikinan filem ini.
DARIPADA PAWAGAM MALAYSIA KE PASARAN ANTARABANGSA Kejayaan di FFM35 melengkapkan perjalanan membanggakan Khadam sejak ditayangkan di pawagam Malaysia dan Brunei pada 11 Jun 2026. Filem ini mencatat
kutipan melebihi RM5 juta di Malaysia sebelum meneruskan tayangan ke beberapa pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Hong Kong, Kemboja dan Indonesia.
Pencapaian tersebut memperlihatkan potensi karya yang berakar dalam budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu untuk mendapat tempat dalam kalangan penonton serantau, khususnya apabila disampaikan melalui penceritaan yang mempunyai kekuatan emosi dan mutu produksi yang tinggi.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut melibatkan kerjasama strategik bersama Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil-Metropole Organisation Ltd. dari Hong Kong, Applause Entertainment dari India serta rakan tempatan termasuk Golden Screen Cinemas dan Primeworks Studios, dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Berlatar tahun 1950-an, Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu yang terpaksa mewarisi saka keluarganya selepas kematian ibunya. Entiti tersebut kemudiannya menjelma sebagai versi dirinya yang lebih sempurna, lalu perlahan-lahan mengambil alih peranannya sebagai isteri dan ibu. Dalam usaha mempertahankan keluarga yang disayangi, Melor berdepan ancaman yang mampu meragut segala-galanya, termasuk identitinya sendiri.
Filem ini diterajui oleh Aghniny Haque sebagai Melor dan Datuk Remy Ishak sebagai Awang, bersama Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan Jun Lojong. Lakon layar nukilan Fariza Azlina Isahak mengangkat persoalan tentang kasih sayang, trauma yang diwarisi serta pengorbanan seorang ibu demi melindungi keluarganya.
SAKSIKAN KHADAM KINI DI NETFLIX
Bagi penonton yang terlepas menyaksikan Khadam di pawagam, filem yang kini meraih 10 pengiktirafan FFM35 termasuk Filem Terbaik ini boleh ditonton di Netflix.
Daripada sambutan penonton di pawagam hingga kejayaan di pentas FFM35, perjalanan Khadam terus menjadi satu pencapaian yang cukup membanggakan buat seluruh pasukan produksi dan industri perfileman Malaysia.
