Oleh Dr. Siti Hawa Ngalim
Bayangkan sebuah pusat kanser yang bukan sahaja menempatkan kemudahan rawatan dan penyelidikan, tetapi turut menjadi ruang untuk masyarakat menikmati karya seni, meneroka sains dan mengembangkan kreativiti. Di sinilah warna, garisan, angka dan imaginasi bertemu dengan pengetahuan tentang tubuh manusia, penyakit serta proses penyembuhan.
Pengalaman luar biasa ini dapat disaksikan menerusi program Sains × Matematik × Seni yang berlangsung sempena perasmian Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), di Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini. Program berkenaan membuktikan bahawa ilmu sains tidak semestinya disampaikan melalui buku teks, makmal atau ceramah semata-mata. Sebaliknya, karya seni juga mampu menjadi medium komunikasi yang menarik dan mudah difahami masyarakat.
Antara tarikan utama ialah pameran karya terpilih daripada Physicality of the Unseen, hasil kerjasama PKTAAB, Pusat Pengajian Seni USM serta Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah. Pameran itu mengetengahkan hubungan antara seni dengan sains melalui karya yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia, termasuk kanser, fungsi otak, sistem saraf, emosi dan pengalaman menghadapi penyakit.
Setiap karya membawa mesej tersendiri. Ada yang mengajak pengunjung memahami perubahan dalam tubuh manusia, manakala karya lain menggambarkan keresahan, ketenangan dan harapan ketika berdepan cabaran kesihatan.
Seni mendekatkan masyarakat kepada sains
Bagi Noraini yang hadir bersama suami dan dua anaknya dari Pulau Pinang, kunjungan tersebut membuka perspektif baharu tentang hubungan antara seni dengan kesihatan. Menurutnya, gabungan kedua-dua bidang itu memperlihatkan bagaimana kreativiti boleh membantu masyarakat memahami pengalaman pesakit dan memberikan harapan dalam menghadapi penyakit.
Pandangan hampir sama dikongsi Mohammed, pelajar doktor falsafah bidang Fizik dari Iraq yang menuntut di USM. Beliau melihat seni sebagai pendekatan berkesan untuk menjadikan konsep saintifik lebih menarik, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian.
Sesungguhnya, sains dan seni mempunyai kekuatan yang saling melengkapi. Sains membantu manusia memahami sesuatu fenomena berdasarkan bukti, manakala seni memberikan ruang untuk mentafsir pengalaman melalui pemerhatian, imaginasi dan emosi. Apabila digabungkan, kedua-duanya berpotensi memperkukuh komunikasi sains, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan.
Belajar melalui pengalaman
Keunikan program ini tidak terhenti pada pameran semata-mata. Menerusi aktiviti Jom Teroka Seni! Sains × Matematik × Seni, pengunjung berpeluang menyertai enam stesen penerokaan yang menggabungkan pemerhatian karya dengan soalan berkaitan sains dan seni. Peserta dibekalkan lembaran aktiviti sebelum mencari karya tertentu dan menjawab soalan berdasarkan pemerhatian masing-masing.
Menariknya, mereka bukan sahaja mempelajari konsep berkaitan kanser, otak dan tubuh manusia, malah turut diperkenalkan kepada elemen seni seperti warna, garisan, corak, ruang serta ekspresi emosi. Pendekatan interaktif ini menggalakkan peserta berfikir, bertanya dan membuat perkaitan antara pengetahuan saintifik dengan pengalaman visual.
Antara peserta terawal ialah pelajar STIKes As Syifa Kisaran, Indonesia, sebelum aktiviti tersebut turut menarik penyertaan remaja dan pengunjung dewasa. Salah satu karya yang mencuri perhatian ialah Sayangnya, hasil kolaborasi Sains × Seni PKTAAB. Karya ini menggunakan pek lepuh ubat serta ubat yang dipulangkan atau tidak digunakan bagi mengajak masyarakat memikirkan persoalan berkaitan rawatan, pengurusan ubat, tanggungjawab terhadap kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Melalui pendekatan kreatif, bahan yang lazimnya dianggap tidak bernilai diberikan makna baharu untuk menyampaikan mesej kesedaran.
Sembilan angka, seribu imaginasi
Bagi kanak-kanak pula, aktiviti Matematik-kepada-Seni menjadi antara pengalaman paling menyeronokkan. Berbekalkan angka satu hingga sembilan, mereka diberikan kebebasan menghasilkan lukisan mengikut imaginasi sendiri. Hasilnya cukup mengagumkan. Angka yang pada asalnya sekadar simbol matematik bertukar menjadi ikan, rama-rama, bunga, bot, wajah dan pelbagai bentuk hidupan laut.
Daripada sembilan angka yang sama, lahir pelbagai karya dengan identiti dan kreativiti tersendiri. Aktiviti mudah ini memperlihatkan bahawa matematik bukan hanya berkaitan pengiraan, sebaliknya turut mempunyai hubungan rapat dengan bentuk, corak dan pemikiran kreatif. Lebih penting, pengalaman sebegini berupaya memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) sejak usia muda.
Membina kefahaman, menyemai harapan
Sambutan pengunjung turut diterjemahkan melalui pelbagai catatan pada dinding maklum balas. Antaranya, ungkapan seperti “Art that speaks” dan “Painting hope, one stroke at a time” menggambarkan bagaimana karya seni mampu meninggalkan kesan kepada pemerhati.
Dalam konteks pusat kanser, pendekatan ini mempunyai makna yang lebih luas. Walaupun seni bukan pengganti rawatan perubatan, penglibatannya dalam pendidikan kesihatan boleh membantu menyampaikan maklumat secara lebih mesra, menggalakkan perbincangan dan meningkatkan empati terhadap pengalaman pesakit. Pada masa sama, program seumpama ini memperlihatkan potensi institusi kesihatan sebagai ruang pembelajaran komuniti yang merentas sempadan disiplin.
Akhirnya, pertemuan seni, sains dan matematik mengingatkan kita bahawa ilmu bukan sekadar untuk diketahui, tetapi juga untuk difahami, dirasai dan dikongsi. Di sebalik setiap karya, mungkin ada persoalan saintifik. Di sebalik setiap warna, mungkin tersimpan sebuah kisah kehidupan.
Dan di sebuah pusat kanser, pertemuan kedua-duanya membuka ruang untuk menyemai kefahaman, empati dan harapan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM).
