SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) — Sambutan ulang tahun ke-15 animasi adiwira BoBoiBoy bakal memeriahkan Monsta Fiesta 2026 yang berlangsung selama empat hari di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya, dari 17 hingga 20 Dis ini.
Festival anjuran Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) itu menawarkan kemasukan percuma dengan pelbagai aktiviti interaktif, persembahan dan pengalaman eksklusif untuk peminat serta keluarga.
Antara tarikan utama ialah BoBoiBoy Live Show: Misi Rekrut TAPOPS, persembahan pentas bertiket pertama di dunia yang menampilkan BoBoiBoy secara langsung.
Persembahan selama sejam itu dihasilkan menerusi kerjasama Monsta dengan One Universal Production Sdn Bhd (OUP).
Peminat turut berpeluang menikmati pengalaman unik menerusi pengenalan bilik hotel bertemakan BoBoiBoy di Moxy Putrajaya, yang membawakan dunia animasi itu ke ruang penginapan.
Pengarah Eksekutif Monsta Ezdiani Ahmad Fawzi berkata pihaknya mahu membawa peminat lebih dekat dengan dunia Monsta menerusi pengalaman yang melangkaui tontonan di skrin.
Beliau berkata Monsta Fiesta, yang memasuki edisi ketiga selepas turut diperluas ke Indonesia, menjadi platform untuk mendekati komuniti peminat dan menghargai sokongan mereka di seluruh rantau ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Monsta Fiesta 2026 di Central i-City, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif OUP Alvin Lee.
Ezdiani berkata festival yang berlangsung pada musim cuti sekolah itu turut menawarkan barangan eksklusif serta kejohanan MGC Championship 2026.
Selain BoBoiBoy, festival itu meraikan karya animasi Monsta yang lain, termasuk Mechamato dan Papa Zola.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti sesi bertemu maskot, pertandingan cosplay dan BoBoiBoy Inflatable Playland.
Sementara itu, Alvin berkata persembahan langsung berkenaan memberi peluang kepada keluarga untuk menyaksikan watak kegemaran mereka dihidupkan di pentas, selain meneroka dunia BoBoiBoy menerusi pelbagai aktiviti.
Beliau berkata matlamat pihaknya adalah untuk mewujudkan pengalaman bermakna yang boleh dinikmati dan dikongsi bersama oleh seisi keluarga.
Orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi BoBoiBoy dan OUP untuk mendapatkan pengumuman serta maklumat terkini mengenai Monsta Fiesta 2026.
