KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Biarpun peminat menantikan kemunculan semulanya, penyanyi legenda Datuk Francissca Peter tidak mahu terburu-buru menghasilkan karya baharu semata-mata untuk memenuhi tuntutan industri.
Sebaliknya, pelantun lagu Sekadar Di Pinggiran itu mahu memastikan setiap karya yang dipilih mempunyai kualiti, jiwa dan mampu menyentuh emosi pendengar.
Francissca, 65, berkata pengalaman lebih empat dekad dalam industri muzik menjadikannya lebih berhati-hati dalam memilih lagu.
“Saya mengaku memang seorang yang memilih dan sangat cerewet. Saya tidak mahu memberikan hasil karya sekadar ala kadar, sebaliknya mahukan kualiti yang terbaik.
“Walaupun sedar permintaan ini agak tinggi, saya mahu berikan yang terbaik buat peminat yang sentiasa setia menyokong saya dari dulu hingga kini,” katanya kepada Bernama menerusi program ShowBuzz terbitan Bernama Radio hari ini.
Menurut Francissca, lagu yang baik bukan sekadar mempunyai melodi menarik, tetapi perlu membawa cerita dan mampu menyentuh emosi pendengar.
Prinsip itu turut membuatkannya tersentuh ketika pertama kali mendengar lagu Maaf Ku Pinta ciptaan Chevy Amry sehingga menitiskan air mata sebelum bersetuju merakamkan karya itu pada 2023.
Dalam perkembangan lain, juara Anugerah Juara Lagu 1986 itu turut merancang menghasilkan lagu berentak rancak atau up-tempo yang membawa mesej muhibah dan perpaduan, berbeza daripada karya balada yang sinonim dengannya.
“Lagu berkenaan masih dalam proses penambahbaikan dan belum mempunyai judul rasmi. Karya ini mengangkat mesej kasih sayang sesama masyarakat tanpa mengira kaum, malah memasukkan elemen bahasa Cina dan India bagi menguatkan mesej perpaduan yang ingin disampaikan.
“Perancangan comeback masih di peringkat awal, namun beberapa lagu sudah berada dalam simpanan,” katanya.
Francissca turut terbuka untuk berduet dengan penyanyi generasi baharu serta meneroka pelbagai genre muzik.
Antara penyanyi yang dikaguminya ialah Aisha Retno, Aina Abdul, Misha Omar, Mimi Fly dan Santesh.
