Oleh Nur Fatehah Raudhah Ariffin
Debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sentiasa menjadi detik yang menguji emosi ribuan pelajar di seluruh negara. Penulis menjangka hari raya yang bakal menjelang tiba ini pasti dilalui dengan penuh rasa gelisah dan degupan kencang memikirkan mengenai keputusan gred SPM yang bakal dihebahkan pada 31 Mac 2026 depan nanti. Setelah keputusan SPM diperoleh maka bermula percaturan baharu untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sudah menjadi lumrah bahawa menyambung pengajian pelajaran ke luar negara sering dianggap sebagai kemuncak kejayaan dan sebagai satu kemegahan simbol status. Namun, kita perlu meneliti realiti situasi global pada hari ini, persepsi ini perlu dinilai semula. Ketidaktentuan landskap antarabangsa telah menjadikan institusi pendidikan tempatan (IPTA dan IPTS) sebagai pilihan yang jauh lebih selamat, praktikal, dan tidak kurang hebatnya dari segi kualiti.
Keadaan ekonomi global pasca-pandemik dan konflik antarabangsa yang berterusan seperti ketegangan yang berlaku di antara Iran dan Amerika Syarikat serta ketidaktentuan geopolitik antarabangsa telah menyumbang kepada lonjakan inflasi dunia. Ketidaktentuan pertukaran mata wang telah menyebabkan perbelanjaan menyambung pelajaran ke luar negara meningkat dengan mendadak.
Sebagai contoh anggaran kos perbelanjaan yuran dan kos sara hidup asas bagi program peringkat Pra-Universiti di kolej awam/swasta di luar negara seperti di United Kingdom, Jepun atau Singapura, pelajar atau ibu bapa perlu bersedia dengan dana sekitar RM100,000 hingga RM150,000 sebelum ini untuk satu sesi pengajian namun dengan konflik dunia terkini kos tersebut dianggarkan meningkat kepada RM160,000 ke RM200,000. Inilah realiti yang perlu dihadapi dan jika dibuat perbandingan sudah tentu institusi tempatan jauh lebih rendah yang mana hanya memerlukan sekitar RM 5,000 ke RM 45,000 sahaja untuk satu-satu sesi pengajian dan anggaran kos tersebut setakat ini masih kekal relevan semenjak dari tahun 2021.
Jika kita imbau kembali pada tahun 2021, trend pelajar memilih institusi tempatan melonjak naik akibat penutupan sempadan antarabangsa berpunca daripada pandemik COVID-19. Pada waktu itu, ia adalah satu ‘paksaan’ kerana berlakunya penutupan sempadan. Namun pada hari ini, walaupun sempadan dunia telah terbuka luas namun perbezaannya adalah pemilihan tersebut kini lebih bersandarkan kepada perspektif beban kewangan serta kemampanan pengajian pelajar tanpa diganggu oleh konflik serantau yang berlaku.
Hal ini juga turut disokong dengan adanya bantuan-bantuan kewangan yang lebih mudah diperoleh di dalam negara seperti yayasan pendidikan negeri, biasiswa JPA, tajaan oleh MARA dan pelbagai lagi biasiswa yang boleh diperoleh dan ditawarkan khusus kepada pelajar warganegara Malaysia.
Namun begitu terdapat tanggapan bahawa kualiti pendidikan institusi pengajian tempatan tidak setanding dengan institusi atau badan pendidikan di luar negara. Tanggapan ini perlu diubah kerana kebelakangan ini kita dapat lihat sendiri bagaimana peningkatan kedudukan institusi pendidikan tempatan dalam senarai QS World Ranking seperti Universiti Malaya yang kini berada dalam kedudukan ke-58 dunia dan pengiktirafan seperti ini membuktikan keupayaan bahawa Malaysia mempunyai kualiti pendidikan yang baik dan setanding dengan negara-negara lain.
Transisi pasca persekolahan juga antara faktor penting yang perlu diambil kira dalam menentukan pemilihan lokasi bagi menyambung pengajian fasa ini adalah merupakan fasa kritikal bagi remaja dan dalam dunia yang serba canggih serta perubahan pesat teknologi keperluan kesejahteraan emosi, serta daya kemandirian pelajar adalah penting demi menjamin dan membentuk masa depan yang cemerlang dan mapan. Berjauhan beribu batu dari keluarga di kala tekanan akademik memuncak, ditambah pula kegusaran kejutan budaya dan pengaruh rakan sebaya boleh menjejaskan mental pelajar serta membawa kepada kecelaruan dalam pembentukan sahsiah serta pencapaian akademik pelajar.
Kesimpulannya, bagi para pelajar SPM, walau apa pun keputusan yang anda perolehi, ketahuilah bahawa ia hanyalah titik permulaan, bukan penamat. Kejayaan masa depan anda tidak ditentukan di mana universiti anda berada, tetapi oleh keazaman, daya tahan, dan usaha keras anda. Dalam mendepani badai ekonomi dan ketidaktentuan global masa kini, memilih untuk membina masa depan di tanah air sendiri bukan sahaja satu keputusan yang berhemah dan selamat, malah ia adalah satu langkah strategik untuk menjadi graduan yang berdaya saing, kompeten, dan bebas daripada bebanan hutang yang tidak munasabah.

Nur Fatehah Raudhah Ariffin ialah Penolong Pendaftar Kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya
