Oleh Dr. Ridzwan Ahmad
Di pentas global, ketidaktentuan harga tenaga merupakan isu sejagat yang mencabar kedaulatan ekonomi setiap negara. Bagi Malaysia, yang mempunyai keunikan sebagai negara pengeksport bersih petroleum, lonjakan harga minyak dunia melepasi paras USD76 hingga USD100 setong mewujudkan satu dilema besar. Persoalan fundamental yang timbul ialah adakah keuntungan tambahan negara harus disimpan sepenuhnya dalam rizab, atau ia wajib dipulangkan sebagai perisai kepada rakyat yang sedang dihimpit kos sara hidup. Kebijaksanaan mengimbangi antara simpanan masa depan dan keperluan mendesak hari ini adalah kunci kepada kestabilan sosiopolitik negara.
Impak ekonomi
Kenaikan harga minyak secara global memberikan kelebihan fiskal yang signifikan kepada perbendaharaan negara melalui Petronas yang terus memainkan peranan tunjang dengan jangkaan pembayaran dividen mencecah RM32 bilion bagi menyokong pengurusan kewangan negara. Namun, di sebalik angka ini, rakyat berdepan risiko inflasi yang mencabar kerana apabila harga minyak dunia melonjak, kos logistik dan pengangkutan secara automatik akan meningkat, seterusnya memberi kesan rantaian (multiplier effect) kepada harga barangan keperluan harian.
Di sinilah letaknya peranan Hifz al-Nafs atau perlindungan nyawa dalam ekonomi Islam, ia tidak terhad kepada mengelakkan kematian fizikal, tetapi merangkumi jaminan kualiti hidup yang bermaruah atau al-hayah al-tayyibah. Jika kerajaan membiarkan harga minyak domestik naik drastik mengikut pasaran, ia akan menghimpit golongan B40 dan M40 sehingga ke tahap menjejaskan akses mereka kepada makanan berkhasiat serta rawatan kesihatan yang sempurna.
Prinsip maqasid syariah menuntut agar kerajaan bersikap berhati-hati dan tidak terburu-buru menaikkan harga minyak di pam, sebaliknya mencari kaedah alternatif dengan menyerap keuntungan hasil minyak dunia tersebut kembali ke dalam bentuk subsidi. Sultanul Ulama, Imam al-Izz bin Abd al-Salam dalam karya agungnya Qawaid al-Ahkam telah memberikan panduan yang cukup tuntas bahawa tugas pemerintah adalah mendahulukan maslahah yang lebih besar bagi rakyat miskin berbanding maslahah yang lebih kecil bagi golongan kaya.
Seiring dengan itu, hujah Imam al-Haramayn al-Juwayni dalam al-Ghiyathi sangat tajam menyatakan bahawa selagi hasil negara mempunyai kecukupan melalui keuntungan minyak dunia, adalah tidak syarie untuk memindahkan beban harga tersebut kepada rakyat. Menurut disiplin ilmu Siyasah Syar’iyyah, pungutan tambahan ke atas rakyat adalah jalan terakhir yang hanya dibenarkan apabila perbendaharaan negara benar-benar kontang, bukannya ketika ia sedang melimpah dengan hasil petrodolar.
Iktibar dari negara luar
Untuk memahami dinamika ini, kita perlu melihat bagaimana negara lain menguruskan “emas hitam” mereka secara strategik. Norway merupakan model terbaik dalam aspek Hifz al-Mal dan Hifz al-Nasl dengan menyimpan hasil minyak ke dalam dana kedaulatan untuk masa depan, namun tetap memulangkan hasil tersebut dalam bentuk kebajikan sosial yang menyeluruh. Sebaliknya, Venezuela menjadi peringatan pahit mengenai kegagalan subsidi minyak yang melampau tanpa kawalan integriti sehingga ekonomi mereka tersungkur apabila harga minyak dunia jatuh.
Di rantau Asia Tenggara, walaupun Malaysia mengekalkan harga petrol RON95 antara yang terendah berbanding Indonesia dan Thailand, perbandingan ini tidak boleh dilihat secara harfiah tanpa mengambil kira purata pendapatan rakyat yang kian menekan. Dengan kadar inflasi makanan yang mencabar, keupayaan kerajaan untuk menyerap kenaikan harga global melalui hasil minyak domestik bukan lagi sekadar pilihan politik, tetapi satu keperluan perlindungan nyawa yang mendesak.
Amanah tadbir urus dan persediaan rakyat
Dalam menguruskan petrodolar, prinsip integriti menjadi sangat kritikal kerana setiap sen keuntungan negara daripada sumber asli adalah harta awam atau Mal al-Am. Langkah kerajaan untuk beralih kepada subsidi bersasar merupakan satu tindakan Hifz al-Mal bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan yang merugikan negara berbilion ringgit setahun. Selain itu, pelaburan semula hasil minyak ke dalam sektor pendidikan, kesihatan, dan teknologi hijau adalah tuntutan Hifz al-Nasl demi memastikan generasi akan datang tidak mewarisi negara yang sarat dengan hutang dan kerosakan alam sekitar.
Pada masa yang sama, rakyat turut memikul peranan aktif melalui perlindungan akal atau Hifz al-Aql dengan membuat keputusan kewangan berasaskan ilmu dan sifat qana’ah. Sikap rasional dalam menguruskan aliran tunai serta meningkatkan celik kewangan akan membantu menstabilkan permintaan pasaran dan mengurangkan tekanan ekonomi di peringkat domestik.
#### Penutup
Di sebalik deru enjin dan angka yang melonjak di pasaran dunia, terdapat denyut nadi rakyat yang perlu dijaga dengan penuh amanah. Kenaikan harga minyak bukanlah sekadar ujian buat dompet marhaen, tetapi ia adalah neraca timbangan bagi sebuah kepimpinan untuk melihat sejauh mana harta awam dipulangkan kepada empunya haknya.
Kerajaan yang bijak adalah yang melihat hasil bumi bukan sebagai harta rampasan, tetapi sebagai titipan Tuhan untuk membasuh keringat rakyatnya. Apabila keadilan ditegakkan dan hak-hak asasi dipelihara, maka di situlah kita akan menemui roh maqasid syariah yang sebenar kerana sesungguhnya di mana sahaja terdapat kemaslahatan manusia, maka di situlah letaknya jalan Allah.

Dr. Ridzwan Ahmad ialah pensyarah di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
