SEPANG, 28 Nov (Bernama) — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh agenda merakyatkan sukan dan menjana nilai ekonomi baharu menerusi pelancaran Pelan Industri Sukan Negara (PISN) serta penerapan elemen kecerdasan buatan (AI) selari dengan kemajuan teknologi semasa.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pendekatan progresif itu penting bagi memastikan pembangunan sukan negara bukan sahaja tertumpu kepada kecergasan fizikal, malah berupaya mengadaptasi inovasi digital serta memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata penganjuran acara sukan berskala besar di lokasi ikonik seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, membuktikan sektor berkenaan berpotensi menjadi pemangkin ekonomi masyarakat.
“Kita melihat dunia kian maju dengan begitu pesat, sebab itu kita ingin menggunakan teknologi pada hari ini supaya teknologi itu dapat juga menyihatkan kita.
“Walaupun kita hidup dalam era teknologi, kita mahu memastikan kita tetap mengekalkan kecerdasan dan kecergasan diri secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut meluncurkan PISN.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata penganjuran HSN di pelbagai peringkat bukan sahaja penting dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan masyarakat, malah menjadi medium mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
“Sebab itu, untuk melahirkan atlet yang hebat, kita mesti bermula daripada akar umbi. Mesti bermula daripada bawah, mesti bermula dengan kita memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat dan juga rakyat,” katanya.
Sambutan HSN kali ini yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 10 Okt di Bukit Jalil sebelum ditangguhkan susulan jerebu, tetap mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai mula memenuhi SIC seawal 5 pagi manakala hujan lebat tidak menghalang peserta meneruskan acara larian di litar berkenaan.
Tema HSN 2026 adalah “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)” yang dipilih bagi meningkatkan kesedaran berhubung impak teknologi digital dan AI terhadap sukan dan rekreasi.
