GERIK, 10 Ogos 2026 – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) di Kampung Orang Asli Air Banun, Gerik, Perak.
Menurut Ahmad Zahid, pembangunan masyarakat Orang Asli perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan komuniti.
“Saya percaya pembangunan masyarakat Orang Asli mesti dilaksanakan secara menyeluruh. Pendekatan whole-of-government penting dalam memastikan setiap kementerian bergerak bersama, mengikut peranan masing-masing, demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya untuk Orang Asli di seluruh negara,” katanya.
Beliau menambah, usaha ini akan terus diperkasakan agar generasi Orang Asli membesar dengan lebih sihat, berdaya maju dan mempunyai peluang yang lebih luas untuk membina masa depan yang lebih sempurna.
Majlis pelancaran itu turut disertai pelbagai aktiviti komuniti termasuk saringan kesihatan, bengkel kemahiran dan pendedahan digital kepada kanak-kanak serta belia Orang Asli.
Pelan strategik ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
